Expired : 18.06.18

Kertas Putih Felda – Satu Ikrar

Merujuk kepada Kertas Putih Felda yang dibentangkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali Menteri Hal Ehwal Eknonomi di Parlimen semalam, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) ingin menyatakan sokongan dan keyakinan penuh kepada enam agenda pemerkasaan peneroka dan generasi baharu Felda di dalam model baharu Felda yang digariskan oleh beliau. Model baharu Felda ini akan memberi fokus kepada usaha pemulihan Felda sebagai wahana untuk mengangkat darjat peneroka melalui pembasmian kemiskinan, memperbaiki kesenjangan ekonomi bandar dan desa serta memacu industri perladangan, pertanian dan makanan negara.


Secara asasnya KEADILAN senantiasa mengikuti rapat isu-isu yang berkaitan dengan Felda dan juga warga penerokanya. Selain daripada disasarkan untuk menjadi operator pengeluar minyak sawit terbesar didunia, Felda juga turut dipuji oleh Bank Dunia kerana pernah menjadi satu model yang sangat baik untuk mengeluarkan masyarakat bandar keluar dari kelompok kemiskinan. Model operasi Felda di negara ini pada satu ketika dulu adalah sangat berjaya sehinggakan pernah dilawati beberapa negara Afrika bagi menjadikan Felda sebagai model pembangunan di negara mereka.


Felda juga pada satu ketika telah mencatatkan keuntungan yang memberangsangkan sehinggalah pada 2013 apabila perdana menteri pada ketika itu melantik Pengerusi Felda dari kalangan kroni politik beliau yang terkenal dengan isu rasuah. Sebermula itu bermulalah era kecelaruan pengurusan dan kedurjanaan urus tadbir korporat yang menjerumuskan Felda kepada zaman gelap dan kejatuhan di mana sehingga hari ini telah mengumpulkan hutang berjumlah hampir RM8 bilion ringgit.


Wang dan hasil dari titik peluh dari peneroka-peneroka Felda diseleweng, digunakan dengan rakus dan sewenang-wenangnya. Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi membongkar kebobrokan bekas Presiden Umno Najib Razak bahawa hampir RM2.7 bilion ringgit duit Felda dikhianati dan digunakan untuk membeli undi-undi pada Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu. Namun begitu, sangkaan bekas Presiden Umno Najib Razak bahawa warga-warga Felda boleh dibeli dengan wang ringgit ternyata merosot sekali. Sesungguhnya KEADILAN amat teruja menyaksikan hampir sebahagian besar peti undi di Felda berubah kepada menyokong Pakatan Harapan pada PRU bersejarah yang lalu.


Mengetahui betapa pentingnya sokongan warga Felda terhadap Pakatan Harapan, Datuk Seri Azmin Ali sebagai Timbalan Presiden KEADILAN mengambil pendekatan yang amat cermat, induktif dan berprinsip dalam menangani permasalah warga Felda bagi memastikan kebajikan dan kelangsungan warga Felda terjamin dan terjaga. KEADILAN dalam hal ini melalui pemimpin-pemimpinnya dan ahli-ahlinya di seluruh ceruk rantau Felda sentiasa mendengar, mengambil maklumat dan memberikan maklum balas keluh-kesah dan keresahan warga Felda untuk perhatian serius pihak kerajaan terutamanya kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Industri Utama dan juga Kementerian Kewangan.


Selaras dengan keprihatinan kerajaan Pakatan Harapan, KEADILAN juga mendengar dan meneliti isu berkaitan tanah peneroka di Felda Sendayan yang sehingga kini tidak berkesudahan. Masalah ini merupakan satu masalah runcing yang telah berlarutan sekian lama namun gagal diselesaikan secara menyeluruh oleh bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan (Tokmat). KEADILAN berpendapat bahawa sudah tiba masanya untuk meletakkan titik noktah kepada kesengsaraan peneroka-peneroka yang terlibat dan percaya pengundi-pengundi warga Felda di DUN Rantau mahukan angin perubahan baru di DUN Rantau. Dengan pembongkaran terbesar kertas putih penyelewengan Felda di Parlimen semalam, KEADILAN percaya warga-warga Felda khususnya di Rantau, Negeri Sembilan boleh menilai bahawa selama ini usaha dan kudrat mereka telah dipergunakan dan di khianati oleh kerajaan Barisan Nasional.


Menteri Hal Ehwal Eknonomi pada semalam juga dengan tegas dan tanpa apologetik menyatakan bahawa kerajaan Pakatan Harapan akan mencuba dengan segala upaya untuk memastikan agar Felda kembali pulih dan kembali menemui zaman gemilangnya. Kertas putih Felda yang dibentangkan di Parlimen semalam merupakan dokumen kali kedua yang dibentangkan selepas kajian separuh penggal tempohari. Pembentangan kertas putih Felda juga merupakan bukti kesungguhan dan komitmen kerajaan Pakatan Harapan serta keprihatinan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi terhadap masalah warga Felda. Tidak ketinggalan, usaha dan komitmen Kementerian Industri Utama yang sentiasa menjadikan isu kelapa sawit sebagai keutamaan pada setiap masa.


KEADILAN pada hari ini mengalukan-alukan langkah dan usaha penyelamatan yang dilakukan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi. KEADILAN seterusnya juga menyatakan sokongan penuh kepada enam agenda pemerkasaan yang dijanjikan kerajaan Pakatan Harapan. KEADILAN juga berikrar akan sentiasa berdiri teguh di belakang Datuk Seri Azmin Ali dan juga memberikan segala bantuan yang diperlukan oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam mengembalikan Felda ke era kegemilangannya.


Bersatu kita teguh bersama warga Felda!


Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin


Ketua Penerangan KEADILAN


Norlida Ishak Shop