Expired : 18.06.18

Kes rogol: Pemimpin DAP persoal polis tahan Exco Perak

SEORANG Ahli Parlimen DAP mempersoalkan tindakan polis yang didakwanya ‘tergesa-gesa’ dan tidak melengkapkan siasatan terlebih dahulu sebelum menahan Exco Kerajaan Negeri Perak, Paul Yong yang didakwa merogol pembantu rumah warga negara Indonesia.


Dipetik portal Malaysiakini, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng (gambar) menegaskan, adalah tidak wajar polis menahan ADUN Tronoh dari DAP itu memandangkan belum ada bukti pemimpin tersebut bersalah.



“Polis mesti mematuhi prinsip utama undang-undang (yang) mengandaikan (seseorang itu) tidak bersalah (sebelum dibuktikan di mahkamah),” katanya sambil meminta polis tampil memberikan penjelasan.


Lip Eng berkata, tiada indikasi yang menunjukkan Yong berpotensi untuk lari atau memusnahkan bukit berkaitan tuduhan yang dilemparkan, justeru pemimpin itu tidak sepatutnya ditahan.


Katanya, Tong juga tidak wajar dilihat sebagai ancaman kepada pengadu.


“Apa yang boleh dilakukan pihak polis terhadapnya kerana melakukan penangkapan yang salah jika dia akhirnya tidak dituduh di mahkamah?


“Polis perlu berhenti menangkap orang secara tergesa-gesa dan apatah lagi cuma berdasarkan laporan yang dibuat semata-mata.


“Penangkapan cuma boleh dibuat selepas bukti yang pasti menunjukkan seseorang itu bersalah telah ditemukan oleh polis,” kata Lim yang juga seorang peguam.


Yong, 49 ditangkap pihak berkuasa semalam selepas pergi ke balai polis dan telah dibebaskan dengan ikat jamin polis.



Terdahulu, Yong (kanan) dalam satu kenyataan menafikan merogol bekas pembantu rumahnya sambil menyatakan rasa “terkejut dan keliru” dengan tuduhan berkenaan.


“Saya ingin menafikan sekeras-kerasnya atas tuduhan yang tidak berasas tersebut.


“Saya ingin menekankan bahawa saya langsung tidak pernah merogolnya, mencabul kehormatannya atau melakukan apa-apa gangguan terhadap dia,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Adun DAP itu berkata beliau telah memberi kerjasama penuh kepada polis dan membawa saksi untuk membantu siasatan untuk menunjukkan dakwaan tersebut adalah fitnah.


Ketua Polis Perak Rozarudin Husain berkata pihaknya telah mengambil keterangan daripada pengadu warga Indonesia berusia 23 tahun, yang mendakwa kejadian berlaku di rumah Yong di Meru, Ipoh.


Dia juga telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan kini diletakkan di tempat yang selamat sementara siasatan berjalan, kata Rozarudin.


Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Kesalahan atas kesalahan rogol.


Istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan exco kerajaan negeri Perak yang dijadualkan pada Khamis, 11 Julai ditunda, dipercayai ada kaitan dengan kes tersebut.


The post Kes rogol: Pemimpin DAP persoal polis tahan Exco Perak appeared first on NewMalaysianPost.com.


Norlida Ishak Shop