Expired : 18.06.18

Ketua Hakim Negara mohon padam sebahagian afidavid Hakim Hamid Sultan


KUALA LUMPUR, 6 Rejab 1440H, Rabu – Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum memfailkan permohonan untuk memadamkan sebahagian afidavit sokongan yang diikrarkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer kerana ia melampau, bersifat menghina dan adalah satu serangan kepada badan kehakiman.


Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan yang mewakili Ketua Hakim Negara memberitahu pemberita bahawa pihaknya telah memfailkan permohonan itu pada 7 Mac lalu dengan alasan bahawa afidavit itu melampau, bersifat menghina, tidak berkaitan dan hanya bersifat dengar cakap.


“Ia juga satu serangan ke atas badan kehakiman secara keseluruhan,” katanya selepas pengurusan kes berkenaan di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Firuz Jaffril di sini, hari ini.


Suzana berkata, mahkamah menetapkan 3 April untuk pengurusan kes itu.


Pada 14 Februari lalu, Hamid Sultan mengikrarkan afidavit itu bagi menyokong saman pemula difailkan peguam Sangeet Kaur Deo.


Sangeet, anak bekas Pengerusi DAP Karpal Singh, memfailkan saman pemula terhadap Ketua Hakim Negara berhubung dakwaan campur tangan terbuka badan kehakiman dalam keputusan kes Akta Hasutan Karpal Singh dan kes penukaran agama tiga kanak-kanak beragama Hindu.


Sementara itu, Sangeet berkata, pihaknya akan meneliti kedudukan dari segi perundangan sama ada perenggan berkenaan boleh dipadamkan.


Pada 14 Januari lalu, Sangeet memfailkan saman pemula itu bagi memohon perintah deklarasi bahawa Ketua Hakim Negara gagal dalam menjalankan tugas sebagai Ketua Badan Kehakiman Malaysia untuk mempertahankan integriti dan kewibawaan badan kehakiman apabila gagal menyempurnakan siasatan dalaman berhubung keputusan rayuan membabitkan kes hasutan mendiang Karpal Singh dan kes guru tadika, M. Indira Gandhi.


Sangeet mendakwa isu itu timbul apabila peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mengeluarkan kenyataan bahawa keputusan rayuan dalam kes Akta Hasutan mendiang Karpal Singh telah diubah akibat campur tangan kehakiman oleh seorang hakim kanan dan perkara itu dilaporkan oleh portal berita dalam talian, Free Malaysia Today pada 22 Ogos, 2018.


Peguam itu turut mendakwa terdapat campur tangan kehakiman dalam kes Indira Gandhi dan perkara itu diumumkan secara terbuka oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer dalam ucapan beliau pada Persidangan Undang-undang Antarabangsa pada 16 Ogos, 2018. – Bernama


The post Ketua Hakim Negara mohon padam sebahagian afidavid Hakim Hamid Sultan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop