Expired : 18.06.18

Ketua majlis peralihan pentadbiran Sudan undur diri


KHARTOUM, 7 Syaaban 1440H – Menteri Pertahanan Sudan meletak jawatan sebagai ketua majlis peralihan pemerintahan tentera negara itu, selepas berjaya meredakan kemarahan rakyat dengan menjanjikan kerajaan awam yang baharu.


Dalam ucapannya di stesen televisyen, Jeneral Awad Ibnouf memaklumkan peletakan jawatan beliau serta menamakan Leftenan Jeneral Abdel Fattah Burhan sebagai penggantinya.


“Saya, ketua majlis tentera mengumumkan melepaskan jawatan itu. Ini demi kebaikan negara kita, tanpa perlu melihat kepentingan khusus sama ada kecil atau besar yang boleh menghalang kemajuannya.


“Saya juga mencadangkan supaya anda bekerjasama dan mencapai penyelesaian dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.


Pada masa sama, Ibnouf menyatakan untuk tidak masuk campur dalam angkatan tentera bagi ‘memelihara perpaduan’ serta yakin penggantinya, Burhan dapat ‘mengemudi kapal ke pelabuhan selamat’.


Terdahulu, selepas menyingkirkan Presiden Omar al-Bashir, Ibnouf mengumumkan tentera mengambil alih kuasa sementara peralihan akan dilakukan dalam tempoh dua tahun.


Bagaimanapun, penunjuk perasaan Sudan menolak peralihan kuasa oleh majlis tentera yang dibentuk kerana dikatakan ‘muka lama yang sama’ dengan rejim dahulu.


Mereka mendesak agar badan awam mengetuai peralihan ke arah demokrasi dan seterusnya menamatkan pelbagai konflik yang menjejaskan negara.


Tunjuk perasaan terhadap pemerintahan Omar bermula Disember tahun lalu susulan kenaikan harga roti, sebelum merebak dan menjadi agenda menggesa beliau meletak jawatan.


Pengkritik menuduh pemimpin berusia 75 tahun itu salah urus terhadap ekonomi Sudan, menyebabkan harga makanan meningkat, kekurangan bahan bakar dan wang tunai. – Agensi


The post Ketua majlis peralihan pentadbiran Sudan undur diri appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop