Expired : 18.06.18

Khalid Ali Gesa FAM Perketat Peraturan Perpindahan Pemain



KUALA LUMPUR: Peraturan yang longgar dalam statut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjadi punca mengapa berlakunya isu pemain berhijrah ‘sesuka hati’ dengan terbaru membabitkan perpindahan kontroversi Akhyar Rashid ke kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).


Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali berkata, ketika bekas majikan Akhyar, Kedah dan JDT terus ‘bercakaran’, beliau lebih berminat untuk melihat FAM melakukan sesuatu bagi membendung kontroversi ini daripada terus berulang lagi.


“Dari tahun 1992 sehingga 2018 memang undang-undang Liga Malaysia (Liga M) tidak ketat, jadi ia adalah perkara biasa apabila kita mendengar pemain bertukar pasukan setiap tahun.


“Mengapa kita tidak ambil tindakan untuk menambah baik dasarnya yang mana kalau pemain itu ingin berpindah dia perlu mengikut garis undang-undang ditetapkan.


“FAM kena lebih berkeras, kalau tidak berkeras lagi lima tahun kita akan cakap benda yang sama soal pemain berhijrah sesuka hati,” katanya ketika ditemui pada majlis skim bantuan khas Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), di sini, hari ini.


Dalam isu Akhyar, sekiranya merujuk kepada Perenggan 3, Artikel 15A, Peraturan Status dan Perpindahan Pemain FAM – memang FAM mempunyai kuasa akhir untuk menetapkan bayaran pampasan terhadap pemain yang ingin berhijrah.





Artikel itu turut menyebut, pemain yang mahu menamatkan secara sebelah pihak atau tebus kontrak boleh melalui FAM jika pemain tidak mendapat maklum balas dalam tempoh tujuh hari selepas menghantar surat kepada majikannya.


Justeru, perlu ada usaha bersungguh untuk memastikan lompang dalam Artikel 15A itu tidak hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja.


Jelas Khalid, mustahil untuk mana-mana pemain menolak tawaran JDT apatah lagi fasiliti bertaraf dunia dimiliki skuad Harimau Selatan itu menjadi tarikan utama pemain ke sana.


Malah, katanya jika beliau berada di tempat Akhyar perkara sama akan dibuatnya dan tidak adil untuk terus menyalahkan adik kepada bekas bola sepak Kedah, Rafdi Rashid itu.


“Kita tidak boleh nafikan JDT menjadi destinasi idaman bagi pemain tempatan… Ia bukan disebabkan Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) tetapi kerana fasiliti hebat selain peluang beraksi di pentas antarabangsa (seperti Liga Juara-Juara Asia).


“Lagipun kalau kita lihat suasana Liga M sekarang banyak pasukan yang bermasalah, jadi sebagai pemain ke mana lagi mereka nak pergi selain ke JDT.


“Saya anggap ia sebagai pilihan tepat oleh Akhyar, dia masih muda dan perlu mencari tempat yang boleh memberi jaminan masa depan yang cerah kepadanya,” tambah Khalid lagi.





Post Views: 0

Norlida Ishak Shop