Expired : 18.06.18

Khurafat hukuman mati — Z Zainuddin

8 NOVEMBER — Orang Melayu di negara ini biasanya hidup dengan satu dua kepercayaan yang karut atau dikenali sebagai “khurafat”.

Salah satunya adalah meminta izin daripada datuk nenek kalau nak buang air di tempat selain tandas.



Terus-terang, sampai hari ini tidak diketahui rasional atau sebab izin daripada datuk nenek diperlukan sebelum melepaskan hajat.


Datuk nenek siapa yang akan terkena tempias air kencing itu? Kenapa datuk nenek sahaja? Kenapa dalam tandas tak perlu minta izin? Datuk nenek tak masuk tandas ke?



Makin lama ditanya, makin nampak ketololan hal yang dipercayai dan diamalkan sejak zaman berzaman itu. Dan ini tidak ada bezanya dengan pelaksanaan hukuman mati di negara ini.


Sangat susah untuk diterima hakikat bahawa kita mempercayai khurafat tentang hukuman mati dapat menakutkan penjenayah sekaligus mencegah berlakunya kes jenayah di dalam sesebuah negara.


Tetapi sehingga hari ini jenayah masih berleluasa dan meningkat. Tidak ada tanda-tanda ia akan menurun walaupun hukuman mati tersebut dilaksanakan dengan pelbagai cara yang mengerikan.


Di Amerika Syarikat misalnya, hukuman mati dijalankan melalui suntikan, kerusi elektrik, gas beracun tetapi jenayah masih sahaja wujud di negara tersebut.


Jika kita rajin untuk Google dan cari apa sahaja berkaitan dengan hukuman mati, tidak akan dijumpai walau satu kajian atau bukti bahawa hukuman mati telah dapat mengurangkan kadar jenayah di sesebuah negara.


Datanglah dari sumber mana pun, semuanya tidak dapat membuktikan “khurafat” tentang hukuman mati ini (dah nama pun khurafat, mana boleh dibuktikan macam kes minta izin datuk nenek tu).


Jadi adakah hukuman mati ini wajar dihapuskan kerana ia terbukti tidak berkesan untuk mengurangkan jenayah?


Seperti khurafat meminta izin datuk nenek, jika ia tidak memberi sebarang kesan atau manfaat, tidak rugi atau salah jika ia tidak diamalkan lagi.


Tetapi adakah kita akan membiarkan sahaja penjenayah bebas daripada rasa takut dihukum dan akhirnya keselamatan kita dan keluarga terancam?


Punca seseorang melakukan jenayah perlu dikenalpasti dan diatasi dengan jalan yang lebih berkesan.


Seseorang sanggup mengedar dadah untuk menyara kehidupan keluarga meskipun berdepan risiko ditangkap dan dihukum gantung.


Jadi, memperbaiki taraf sosioekonomi dan mendidik masyarakat adalah fokus utama yang boleh mempengaruhi pengurangan kadar jenayah selain daripada mereformasi sistem rehabilitasi di negara ini.


Tidak dapat dinafikan kes-kes jenayah yang melibatkan pembunuhan kejam seperti Suzaily Mokthar, Canny Ong dan adik Nurin Jazlin memerlukan keadilan dan hukuman setimpal ke atas penjenayah-penjenayah mereka.


Tetapi apa yang lebih penting untuk kita pada hari ini ialah apa yang perlu kita lakukan supaya masyarakat tidak lagi melahirkan penjenayah-penjenayah kejam seperti ini?


Seperti meminta izin sebelum membuang hajat, khurafat ini hanya boleh tinggal dalam lipatan sejarah sekiranya kita tidak lagi mengamalkannya dengan pendidikan terus-menerus bahawa meminta izin daripada mereka yang telah mati sebelum kencing tidaklah mendatangkan sebarang mudarat atau kebaikan.


Barangkali, ia cuma diamalkan sebagai tanda hormat sebelum melepaskan hajat di tempat selain daripada di dalam tandas.


Dan akhirnya, kita juga terpaksa menerima hakikat dan kenyataan bahawa hukuman mati, selain diamalkan atas nama menuntut keadilan, tidak dapat mengurangkan kes jenayah mahupun menakutkan seseorang daripada melakukan perbuatan jenayah!


* Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.


Norlida Ishak Shop