Expired : 18.06.18

Kisah Haji Ton Bukit Selambau yang mampu menjinak harimau

NAMA Haji Ton dan Kampung Bukit Selambau di Sungai Petani tiba-tiba tercatat di tengah peta. Sebelum ini Haji Ton bukanlah personaliti tetapi tiba-tiba saja lelaki yang mempunyai empat isteri ini menjadi bualan di seluruh pelosok negara.


Luar biasanya Haji Ton bukanlah kerana berjaya mengendalikan bahtera perkahwinan dengan empat isteri atau mempunyai 20 orang anak dan hidup dengan aman damai.


Tetapi luar biasa Haji Ton ialah mampu menjinak dan bermesra dengan seekor anak harimau belang yang memang terkenal dengan ganasnya setelah dibeli dari Thailand sebulan lalu.


Semasa dalam perjalanan ke rumah Haji Ton atau nama sebenarnya Zaitun Arshad, 50, orang-orang kampung yang mengenalinya berkata, kejayaan memimpin empat isteri sudah cukup membuktikan kemampuan dia menjinakkan seekor anak harimau bernama Charlie itu.


Namun bagi Haji Ton, yang dilakukan bukanlah suatu yang luar biasa kerana pepatah ada mengatakan, alah bisa tegal biasa. Ini bermakna mesti mempelajari cara-cara untuk menangani sesuatu yang orang lain anggap berisiko tinggi.


Kemunculan Charlie juga menggemparkan penduduk Bukit Selambau dan banyak yang bertandang ke rumah Haji Ton untuk melihat anak harimau belang peliharaannya dari dekat.


Memelihara binatang ganas seperti harimau belang memberi kepuasan yang luar biasa kepada saya, kata Haji Ton ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.


Difahamkan anak harimau belang itu dibeli dari selatan Thailand dengan harga RM15,000. Bagaimanapun kisah Haji Ton memelihara anak harimau belang itu menjadi buah mulut orang ramai sejak disiarkan dalam akhbar baru-baru ini.


Tambahan pula pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mendakwa adalah satu kesalahan sekiranya memelihara binatang liar itu tanpa mendapat lesen daripada jabatan tersebut.


Bagaimanapun, beliau yang enggan menyerahkan Charlie kepada Perhilitan telah mengambil tindakan melepaskannya di kawasan hutan Sik.


Bagi Haji Ton, walaupun memelihara harimau berhadapan dengan risiko dibaham binatang liar itu tetapi dengan pengalaman dan kemahiran `berkomunikasi’ dengan harimau, rasa ngeri bertukar menjadi seronok.


Beliau yang minat memelihara binatang liar sejak kecil lagi sebenarnya bukan berani secara melulu. Sebaliknya mempunyai ilmu dan teknik menjinakkan harimau belang yang dipelajari di Thailand.


Haji Ton yang mempunyai 20 orang anak berusia lapan bulan hingga 32 tahun itu berkata, semasa menuntut ilmu menjinak harimau, antara ujiannya beliau diarah tidur seorang diri pada waktu malam dalam hutan yang penuh dengan harimau dan gajah.


Semua ujian getir dan penuh risiko itu berjaya dilalui dengan selamat, Haji Ton mula bercita-cita untuk memelihara harimau.


Selepas mendapat ilmu memelihara harimau, saya mula berhasrat memelihara harimau walaupun bahaya dan berisiko tinggi berbanding binatang lain, katanya.


Haji Ton memberitahu, sebelum membawa anak harimau belang itu pulang, beliau diuji oleh pemilik anak harimau itu supaya bertarung menjinakkan binatang liar tersebut yang masih garang itu.


Jelasnya, selepas berjaya menjinakkan Charlie baru pemiliknya menyerahkan harimau itu kepadanya untuk dipelihara. Charlie yang mempunyai ketinggian satu meter dan panjang satu setengah meter serta berat 180 kilogram diberi makan tiga ekor ayam, tiga kilogram daging dan susu setiap hari.


Semasa dalam jagaan Haji Ton, anak harimau tersebut dikurung di dalam sangkar setinggi tiga meter dan dua meter lebar berhampiran rumahnya di Kampung Bukit Selambau. Sebelum ini beliau pernah memelihara tiga ekor harimau bintang.


Bagaimanapun tiga ekor harimau bintang itu terlepas dan dipercayai masuk ke kawasan hutan berhampiran rumahnya. Selain itu Haji Ton berkata, Charlie mempunyai bulu yang lembut dan coraknya juga menarik berbanding harimau belang lain.


Kerana itu Haji Ton sedih apabila terpaksa berpisah dengan Charlie yang baru sempat bermesra kira-kira sebulan. Charlie terpaksa dilepaskan ke hutan apabila pihak Perhilitan kata tidak sesuai dipelihara di kawasan taman perumahan, kata Haji Ton. Namun beliau akan pergi ke kawasan hutan Sik untuk bertemu Charlie apabila merindui binatang itu.



Ini kerana Charlie sudah sebati dengannya kerana sejak memeliharanya hubungan dengan harimau tersebut sudah cukup mesra bagai tidak boleh dipisahkan.


Haji Ton mendakwa mempunyai teknik-teknik tertentu untuk memanggil Charlie keluar dari hutan tersebut.


Kerana sudah begitu mesra dengan Charlie, tidaklah terlalu sukar memanggil dia keluar dari hutan, katanya.


Dalam pada itu tambah Zaitun, dia bercadang untuk membuka zoo mini untuk menempatkan binatang-binatang liar seperti harimau belang, beruang dan gajah pada masa akan datang.


Jelasnya, melalui zoo mini berkenaan, diharapkan dapat membantu kerajaan negeri menambah produk pelancongan di Kedah.


Saya akan kemukakan kertas cadangan zoo mini itu kepada jabatan dan agensi kerajaan tertentu untuk dipertimbangkan kelulusan, tegasnya yang berharap tragedi perpisahan dengan Charlie tidak berlaku kalau ada zoo mini seperti itu.


Sumber: Utusan Melayu


Norlida Ishak Shop