Expired : 18.06.18

Kisah pemandu Grab yang meruntun jiwa – “Dossa yang saya semai masa muda, saya tuai pada usia tua begini.”

nasional.kompas.com

Saya hanya mengenali Grab pada tahun lepas. Bukannya apa. Di tempat saya tidak ada perkhidmatan ini. Bila sesekali ke Kuala Lumpur, baru dapat mencuba.


Seronoknya naik Grab ini, bila kita menemui pelbagai ragam pemandu. Dapat juga korek cerita mereka.


Kisah seorang pakcik yang meruntun rasa…


Pernah satu ketika, perjalanan saya dipandu oleh seorang lelaki yang agak berusia. Saya rasa, umurnya sekitar penghujung 50-an. Ternyata telahan saya benar.


Beliau adalah seorang pesara kerajaan. Mengisi masa lapang dengan menjadi pemandu Grab.


Banyak perkara yang kami bualkan. Dari kisah seputar politik hingga ke cerita peribadi.


“Anak-anak tak ada pakcik?” Saya melontar tanya.


Jeda. Pakcik itu senyap beberapa ketika. Kemudian melepaskan keluhan yang berat. Beberapa saat kemudian, beliau kembali membuka mulut.


“Masa muda dahulu, saya seorang pekerja yang bagus. Macam-macam anugerah saya terima.”


Dia kembali diam.


Derhaka kepada ibu…



Dream

“Satu hari, saya bergaduh dengan emak. Gaduh yang sangat teruk. Saya lari daripada emak, membawa anak-anak dan isteri. Saya pisahkan anak-anak dengan nenek mereka.”


Saya tekun memasang telinga.


“Lama juga saya meninggalkan emak. Sampai beberapa kali emak telefon untuk bercakap dengan cucu-cucunya. Rindu kata emak. Bukan emak saya sahaja, anak-anak juga rindu kepada nenek. Mereka kerap menangis sambil memanggil nama nenek. Saya tetap keraskan hati. Membiarkan emak dan anak-anak menderita menanggung rindu.”


Pakcik itu perlahan-lahan mengesat matanya yang mula digenangi air.


“Maaf ya. Termenangis pulak. Hahahaha.”


Saya hanya mengagguk.


“Dalam saya mengabaikan emak, hidup saya tetap senang. Apa yang saya lakukan tetap berjaya. Sampai saya terfikir, benarkah bila kita derhaka dengan emak, hidup kita susah? Sedangkan saya tak alami benda itu.”


“Itulah namanya istidraj pakcik.” Saya menyampuk.


“Benar cikgu. Itulah yang seorang ustaz yang saya kenal cakap. Kita derhaka dengan mak, derhaka dengan tuhan tapi hidup kita tetap senang.”


Saya mengangguk bersetuju.


Dossa derhaka kepada ibu dibalas oleh anak-anak sendiri…


“Senang cerita, zaman muda saya penuh dengan keindahan walaupun dalam pada masa yang sama, saya mengabaikan orang yang patut saya taat. Saya pisahkan anak-anak dengan nenek mereka. Saya dera jiwa dan perasaan emak saya.”


Pakcik grab memandang wajah saya dari arah sisi. Saya membalas pandangan dengan senyuman yang dibuat-buat.


“Dossa yang saya semai masa muda, saya tuai pada usia begini.” Ada getar di hujung suara.


“Apa terjadi pakcik?”


“Allah telah balas semula apa yang saya buat dahulu.”


“Apa maksud pakcik?” Perasaan ingin tahu semakin membuak-buak.


Anak-anak hanya balik pada cuti raya…


“Selepas anak-anak selesai tingkatan lima, seorang demi seorang tinggalkan saya dan isteri. Sampaikan anak saya yang sudah kahwin pun, hanya menjenguk kami pada Hari Raya. Itu pun selepas raya ketujuh.”


Kali ini beliau benar-benar menangis.


Saya tergamam. Perlahan-lahan saya cuba meredakan tangisannya.


“Sampai saya bertanya kepada anak, kenapa buat kami begini. Jawapan mereka mudah. Mereka sibuk. Allahu akbar. Takkan sampai tak ada masa untuk menjenguk kami?”


Tangisan yang sebelum ini hanya tinggal puing, kini kembali marak.


“Kemudian baru saya teringat. Itulah yang telah saya lakukan dahulu terhadap emak saya. Allahu akbar…”


Saya hanya membatukan diri. Tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan.


“Tapi cikgu. Masa tak boleh diputar. Emak aya sudah tak ada.”


Selepas beberapa ketika, tangisannya kembali reda. Sampailah semuanya tenang, pakcik itu kembali bersuara.


“Saya benar-benar kecewa atas apa yang berlaku. Saya fikir, hidup di hujung usia ini, mudah. Tapi tidak. Allah uji saya. Allah campakkan semula apa yang saya buat dahulu ke zaman ini.”


Jangan ingat kejayaan kita tidak kerana doa ibu…



KabarMakkah.Com

Saya memandang wajahnya.


“Jangan fikir, kejayaan yang kita nikmati sekarang adalah hasil usaha kita. Tanpa kita sedar, yang kita dapat itu adalah doa daripada orang yang kita sayang.”


Saya mengangguk.


“Ada mak ayah lagi?”


Saya hanya melemparkan senyum.


“Kalau ada mak ayah, hormatlah mereka. Bila kita derhaka, bersedialah untuk anak-anak pula derhaka pada kita. Percayalah cakap saya.”


Saya meninggalkan kereta Nissan Almira itu dengan perasaan yang libang-libu. Ayat-ayat terakhir itu masih tengiang-ngiang di telinga.


“Bila kita derhaka, bersedialah untuk anak-anak pula derhaka pada kita.”


Allahu akbar. Terima kasih pakcik.


sumber; Abdul Muiez Ruslee


Norlida Ishak Shop