Expired : 18.06.18

KKM giat kesan subkluster madrasah [METROTV]

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mempergiatkan aktiviti pengesanan, penyaringan, ujian, isolasi serta rawatan terutama kepada kumpulan subkluster madrasah dan pusat tahfiz di beberapa negeri.


Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).


“Misalnya, hasil kerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Syura Jemaah Tabligh Masjid Seri Petaling, KKM mengenal pasti senarai terkini madrasah dan pusat tahfiz bagi membantu pengesanan kontak rapat kepada kes-kes indeks perhimpunan di Seri Petaling.


“Susulan daripada tindakan proaktif di lapangan oleh Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah, beberapa subkluster jangkitan Covid-19 berjaya dikenal pasti


“Kesemua kes yang positif diasingkan dan diberi rawatan. KKM akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi mengenal pasti dan menguji semua kontak rapat dalam kalangan kumpulan yang berisiko tinggi,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.


Dr Noor Hisham berkata, masyarakat diseru untuk mengelak daripada mempersalahkan atau mendiskriminasi mana-mana pesakit atau kumpulan yang dikaitkan dengan kluster jangkitan Covid-19.


DR Noor Hisham Abdullah. FOTO Bernama
DR Noor Hisham Abdullah. FOTO Bernama

“Janganlah kita stigmakan mereka. Apa yang penting, adalah kita membantu mengesan dan merawat jangkitan Covid-19 dalam kalangan mereka yang terbabit, keluarga dan kontak mereka.


“Orang awam dipohon untuk memberikan kerjasama kepada agensi-agensi yang terbabit dalam memenangi kejadian Covid-19 di Malaysia.


“Seperti dimaklumkan, tempoh dua minggu akan datang ini adalah penting di mana kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan rantaian jangkitan Covid-19 dapat diputuskan,” katanya.


Sub kluster Covid-19:


1. Madrasah di Jerantut, Pahang


• Jumlah disaring seramai 401 orang (297 pelajar dan 104 orang adalah kakitangan dan ahli keluarga kakitangan)


Jumlah positif : 62 kes (dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan)


Jumlah kes sembuh/discaj : 20 kes


2. Madrasah di Penanti, Pulau Pinang


• Jumlah disaring seramai 291 orang (256 pelajar dan 35 kakitangan)


Jumlah positif : enam kes (dua kes masih dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah)


Jumlah kes sembuh/discaj: empat kes.


3. Madrasah di Sungai Lui, Selangor


• Jumlah disaring seramai 282 orang (274 pelajar dan lapan kakitangan)


Jumlah positif : 90 kes (dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan Pusat Kusta Negara)


Jumlah kes sembuh/discaj: 67 kes.


4. Madrasah di Jasin, Melaka


• Jumlah disaring seramai 137 orang (122 pelajar dan 15 kakitangan)


Jumlah positif: 37 kes (dimasukkan ke Hospital Melaka)


Jumlah kes sembuh/discaj: satu kes.