Expired : 18.06.18

Klip video intim: ‘Saya pun tidak sangka’ – Anwar

DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sendiri tidak menyangka tuduhan skandal seks yang pernah menggoncang karier politiknya masih digunakan dalam arena politik Malaysia.


Presiden PKR itu berkata, beliau berasakan amat malang apabila agenda politik berkenaan turut menimpa timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.


“Sudah tentu saya sangka apa yang saya alami (sebelum ini) patut menjadi yang terakhir, tetapi malangnya trend ini seolah-olah berterusan dan ia amat menyedihkan, memualkan dan saya tidak faham mengapa ini harus terus berlaku,” katanya.


Anwar berkata demikian kepada pemberita di Petaling Jaya selepas menghadiri mesyuarat Biro Politik PKR petang tadi.


Mesyuarat itu antara lain membincangkan perkembangan terkini mengenai dakwaan seorang anggota PKR bahawa Mohamed Azmin terlibat dalam hubungan sejenis.


Ia ekoran tersebar rakaman klip video yang didakwa dirakam di sebuah hotel di Sandakan pada 11 Mei lalu, ketika berlangsungnya pilihan raya kecil kawasan tersebut.



Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Aziz yang juga setiausaha sulit kanan Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Md Akin membuat pengakuan bersumpah mendakwa bahawa dia adalah individu bersama Azmin dalam video tersebut.


Mohamed Azmin dalam satu kenyataan media petang ini bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya beliau adalah orang yang dilihat dalam rakaman video tersebut.


Untuk rekod Anwar disabitkan kesalahan atas tuduhan meliwat pada 1999 dan 2014 namun diberikan pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong selepas PH menawan Putrajaya pada 9 Mei tahun lalu.


Ketika kesnya, Anwar berulang kali menuduh ia adalah konspirasi politik mainan UMNO ketika era pentadbiran Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri.


Bagaimanapun, dalam sidang akhbar petang tadi, Anwar tidak menyebut mengenai kemungkinan penglibatan UMNO sebagai dalang dalam kes membabitkan Mohamed Azmin.


Menurut Anwar, beliau amat menolak permainan politik yang menggunakan kaedah sebegitu.


Menurutnya ia adalah salah dari pandangan moral, agama dan etika.


“Ini bukan cara kita patut menghakimi atau menilai seseorang dalam politik,” tambahnya.


Anwar memberitahu, Mohamed Azmin memohon maaf kerana tidak dapat menghadiri mesyuarat berkenaan, namun memberitahu sempat berbual panjang dengan Menteri Hal Ehwal ekonomi itu melalui telefon.


Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan butiran perbualan mereka.


The post Klip video intim: ‘Saya pun tidak sangka’ – Anwar appeared first on NewMalaysianPost.com.


Norlida Ishak Shop