Expired : 18.06.18

Kolaborasi Strategik KKM, Pelbagai Agensi Hadapi COVID-19 – Dr Adham Baba

PUTRAJAYA, 13 April – Sebagai persediaan mendepani pandemik COVID-19 ke tahap paling kritikal, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama beberapa agensi penyelidikan dan khidmat teknikal mengadakan kolaborasi strategik dalam menghasilkan inovasi baharu peralatan bagi menangani masalah kesihatan yang melanda dunia ketika ini.


Mengumumkan Kolaborasi Strategik Inovasi Kejuruteraan Kesihatan di sini hari ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata KKM mengalu-alukan penghasilan idea bagi mencari kaedah serta pendekatan terbaik dalam memperbaharui teknologi sektor perubatan moden.


Beliau berkata hasil kolaborasi itu, tiga inovasi telah dihasilkan iaitu prototaip Peranti Perubatan Ventilator Menggunakan Teknologi 3D dan prototaip ‘Splitter Kit’ Ventilator untuk kegunaan lebih daripada seorang pesakit serta Unit Rawatan Rapi Hibrid di Lapangan (FHyICU).


“Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan KKM telah meneroka kaedah alternatif dengan menghasilkan ventilator berteknologi maju 3D Printing Medical kolaborasi bersama Universiti Teknologi Malaysia dan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia ini telah berjaya menghasilkan prototaip pertama,“ katanya pada majlis taklimat media mengenai kolaborasi strategik itu di sini hari ini.


Dr Adham berkata prototaip itu akan menjalani pengujian sepenuhnya bersama SIRIM agar dapat berfungsi untuk menyokong keperluan asas bantuan pernafasan bagi pesakit COVID-19.


Bagi prototaip ventilator teknologi 3D, objektif penghasilan ialah ventilator kos rendah menggunakan teknologi 3D dan perkakasan minimum bertujuan menyokong keperluan asas pesakit COVID-19 sekiranya jangkitan di negara ini sampai ke tahap kritikal.


Pembangunan prototaip ‘splitter kit’ pula bertujuan membolehkan sebuah ventilator digunakan oleh dua pesakit bagi menyokong keperluan pernafasan pesakit COVID-19, dengan memastikan tidak berlaku pemindahan jangkitan.


FHyICU merupakan gabungan pembinaan unit rawatan rapi (ICU) dan wad isolasi secara mudah dipasang serta dibuka selain boleh dibina di lokasi diperlukan dengan kos yang efektif.


Teknologi kolaborasi bersama UEM Edgenta Berhad ini boleh menempatkan 10 katil yang bersaiz dari 20.88 meter x 6.50 meter x 3 meter (ketinggian siling).


Berkonsepkan keperluan situasi kecemasan dan ICU hospital medan, ia dilengkapi bilik persalinan, stor linen, stesen jururawat, kawasan pesakit, tandas, bilik dof, bilik mandi, bilik bekalan dan bilik bedah.


Sementara itu, Dr Adham berkata kolaborasi pintar Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan KKM dengan pelbagai agensi kerajaan akan menggembleng kepakaran tempatan dan antarabangsa dalam memajukan teknologi kesihatan di Malaysia.


Beliau berkata ini selaras dengan usaha mewujudkan pusat kecemerlangan dalam bidang Kejuruteraan Biomedikal di KKM dan Fasiliti Kesihatan.


“Keterujaan hasil kerjasama awal ini saya kongsikan bersama dengan anda semua agar permulaan kejayaan ini perlu disebarluaskan kerana adalah penting untuk kita semua ketahui,” katanya.


Dr Adham juga berkata dalam pertempuran untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19, negara bangga dengan pengorbanan petugas barisan hadapan KKM dan seluruh agensi terlibat yang tidak pernah mengeluh malah bersemangat memastikan negara terus kekal aman serta makmur tanpa kemudaratan yang boleh membinasakan seluruh ekosistem negara ini.


Beliau mengulangi bahawa rakyat yang berperanan duduk di rumah adalah sebahagian daripada pejuang dalam usaha memenangi pertempuran menentang COVID-19 ini.


“Negara memerlukan kerjasama kita semua untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19. Untuk menang memerlukan pengorbanan, dan semestinya pengorbanan anda semua di barisan hadapan mahu pun kecekalan mereka yang di rumah, amat kami hargai dan sanjung tinggi, “ katanya.- BERNAMA