Expired : 18.06.18

Kolah Lebai Abdullah

KOLAH berusia 74 tahun di Masjid Kampung Baru Tetambah, Manir di sini nampak biasa, tetapi kemudahan yang dibina pada 1948 itu masih jadi tumpuan penduduk setempat.


Walaupun masjid itu sudah dilengkapi bekalan air paip, kolah itu masih lagi menjadi pilihan jemaah untuk mengambil wuduk hingga ke hari ini.


Ada cerita mengenai pembinaannya yang menarik perhatian penduduk dan disenangi sehingga beberapa generasi.


Imam masjid, Mohamad Sulaiman, 81, berkata, pembinaan kolah itu dibuat selepas 10 tahun masjid itu yang asalnya surau dibangunkan untuk kariah di kampung itu.


Katanya, surau dinaik taraf menjadi masjid pada 1974.


“Uniknya kolah ini kerana ia dibina secara bergotong-royong oleh penduduk yang diketuai mualaf berbangsa Cina yang dipanggil Lebai Abdullah.


“Saya masih kecil ketika proses pembinaannya, tetapi masih ingat kenangan bergotong-royong dengan memikul pasir yang diambil di Sungai Nerus untuk pembinaannya.


“Sungai itu pula terletak kira-kira dua kilometer dari masjid dan pembinaannya ambil masa sebulan untuk disiapkan,” katanya ketika ditemui.


Mohamad berkata, sangat bersyukur kemudahan itu memanfaatkan jemaah walaupun sudah ada kemudahan air daripada pili yang disediakan.


“Ini kerana kolah itu antara kolah air wuduk yang paling lama di daerah ini dan ia sentiasa menjadi tumpuan masyarakat setempat,” katanya


“Ada juga dakwaan mengatakan air kolahnya dapat menyembuhkan penyakit tetapi kami tidak menggalakkan kepercayaan begitu kerana hanya mensyirikkan Allah sahaja,” katanya.


Sementara itu, jemaah, Zawawi Deraman, 38, berkata, kolah itu memang menjadi perhatian terutama jemaah yang kali pertama datang ke masjid itu.


“Maklumlah kolah itu dibina sebelum negara mencapai kemerdekaan, oleh itu ia memang unik bagi generasi baharu disebabkan reka bentuk dan cara buatannya.


“Ia juga tahan lebih lama daripada kolah baharu,” katanya.


Menurutnya, inisiatif pihak masjid mencantikkan kolah itu termasuk mengecat tulisan asal tarikh kolah dibina membuatkan ia lebih menonjol dan menjadi perhatian.