Expired : 18.06.18

Konsep istito’ah isyarat kerajaan mahu kurang subsidi haji?


BANGI, 17 Rejab 1440H, Ahad – Konsep istito’ah tidak boleh menjustifikasikan tindakan kerajaan untuk mengurangkan subsidi, sebaliknya kerajaan mesti bersikap sebagai ‘enabler’ atau pemudah cara kepada rakyat untuk menunaikan haji, kata Timbalan Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin.


Beliau berkata, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berhubung perkara itu, menimbulkan persoalan adakah ia sebagai isyarat bahawa subsidi kepada bakal haji kali pertama akan dikurangkan.


Katanya, kenyataan Mujahid itu dibuat ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Dungun yang bertanya berhubung kedudukan subsidi yang diberikan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) untuk jemaah, baru-baru ini.


Tidak menafikan kemampuan adalah syarat untuk mengerjakan ibadah haji, Khairil berkata, praktis pemberian subsidi telah diamalkan dengan baik oleh kerajaan dahulu sejak tahun 2001.


“Mengapa Pakatan Harapan yang memerintah tidak sampai setahun sudah mula berbicara dengan bahasa menjurus kepada pengurangan subsidi haji?


“Tujuan penubuhan Lembaga Tabung Haji adalah untuk membantu umat Islam dan mengurus dana pendeposit untuk menunaikan haji. Jangan menambah beban kepada rakyat untuk melaksanakan ibadah ini,” katanya dalam satu kenyataan.


Pada masa sama, beliau turut mengingatkan kerajaan PH bahawa umat Islam sentiasa memberikan sokongan kepada TH.


“Pada 2018, peningkatan hampir RM1 bilion jumlah deposit umat Islam iaitu daripada RM73.6 bilion kepada RM74.5 bilion. Sementara itu, sebanyak 31,580 akaun baru yang telah dibuka dalam tempoh yang sama. Hal ini menunjukkan sokongan umat Islam kepada LTH tetap utuh.


“Sebagai imbalan kepada sokongan ini, pihak kerajaan tidak wajar mengurangkan subsidi kepada semua bakal haji yang pertama kali menunaikan haji,” katanya.


Sebelum ini, Mujahid mengumumkan bahawa kerajaan akan melaksanakan konsep istito’ah dalam usaha mengurangkan beban bantuan subsidi yang perlu ditanggung TH. 


Menteri yang menjaga portfolio hal ehwal agama itu berkata, langkah pengurangan subsidi ditanggung TH wajar dilaksanakan kerana kos bantuan kewangan yang perlu disalurkan kepada setiap jemaah haji meningkat saban tahun.


Beliau berkata, dengan melaksanakan langkah itu, ia dapat mengurangkan bebanan kos yang ditanggung hampir RM400 juta untuk menambah RM12,920 kepada kos setiap bakal jemaah haji.


The post Konsep istito’ah isyarat kerajaan mahu kurang subsidi haji? appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop