Expired : 18.06.18

‘KREW KABIN WAJIB FIT DAN SIHAT’ – HAFIZ FEROZ KONGSI TIP KEKAL SIHAT WALAU SELALU DI AWAN BIRU

Sebagai seorang pramugara, penampilan segak, menarik dan menawan di mata adalah satu kelebihan serta keperluan. Namun, dek jadual tidak menentu ditambah lagi kengkangan masa akibat selalu berada di awan biru, mungkin memustahilkan, namun tidak bagi Muhamad Hafiz Bin Feroz atau lebih mesra dipanggil Hafiz. Bertugas sebagai krew kabin bukan alasan untuk tidak fokus dalam gaya hidup sihat. GL berkesempatan untuk melakukan pengambaran dan menemubual beliau rutin asas serta kehidupan mencabar seorang pramugara.



GLAM Lelaki: Boleh anda ceritakan serba sedikit tentang diri anda?


HAFIZ FEROZ: Pertama sekali saya ingin berterima kasih kepada penulis GLAM Lelaki kerana sudi menemubual saya. Nama saya ialah Muhamad Hafiz Bin Feroz dan saya sekarang berusia 25 tahun. Saya sekarang bertugas sebagai pramugara di syarikat penerbangan AirAsia X. Pramugara merupakan perkerjaan kedua saya manakala perkerjaan pertama saya ialah PT (Personal Trainer) di syarikat Fitness First. Saya berasal dari Pulau Pinang tetapi sekarang menetap di Nilai, Negeri Sembilan. Sebelum ini saya pernah mewakili Malaysia selama 2 tahun dalam acara sukan Triathlon dan juga Duathlon. Saya juga pernah mewakili negeri Pulau Pinang untuk acara olahraga dan juga merentas desa. Saya merupakan anak sulung daripada 4 orang adik beradik.


GLAM Lelaki: Ceritakan serba sedikit bagaimana anda boleh terlibat dalam dunia kecergasan?


HAFIZ FEROZ: Saya mula menceburi bidang kecergasan sejak dari umur 13 tahun di mana saya mula berjinak jinak dengan sukan bola sepak. Kemudiannya dari sukan bola sepak, saya mengubah arah kepada sukan olahraga dan merentas desa pada umur 15 tahun. Pada mulanya ia merupakan hobi tapi lama kelamaan ia menjadi rutin harian saya. Tamat sahaja kelas, saya akan terus ke Stadium untuk menjalani latihan saya. Begitulah kehidupan saya selama 5 tahun sehingga saya mula menceburi bidang sukan Triathlon dan Duathlon. Pada awalnya, latihan saya cuma sekali sehari. Sehinggalah saya diserap untuk mentertai pasukan Malaysia dimana saya menjalani latihan sebanyak tiga kali sehari yang melibatkan latihan berenang, berbasikal dan berlari. Selepas 2 tahun mewakili Malaysia, saya mendapat peluang untuk berkerja sebagai pramugara.



GLAM Lelaki: Kenapa penting untuk seorang pramugara memiliki tubuh badan yang sihat dan fit?


HAFIZ FEROZ: Memiliki tubuh badan yang sihat dan fit sebenarnya penting untuk cabin crew kerana kerjaya kami sering berhadapan dengan beratus penumpang dan juga suhu dan cuaca yang tidak menentu. Ini semua dapat menjejaskan kesihatan saya sebagai seorang cabin crew. Bersenam dapat menguatkan lagi badan untuk melawan dari sebarang penyakit dan pada masa yang sama juga dapat membentuk badan menjadi lebih cantik. Cabin crew sering menghabiskan masa di luar negara yang memberi peluang kepada pelbagai pilihan makanan yang tidak terdapat di negara sendiri. Oleh itu, adalah penting untuk saya selalu bersenam bagi mengelakkan dari menjadi gemuk.


GLAM Lelaki: Bagaimana anda mengimbangi kerjaya anda sebagai seorang pramugara yang sentiasa di awan biru, namun masih mengekalkan rutin gaya hidup sihat?


HAFIZ FEROZ: Selalunya saya akan menjalani latihan saya sebelum pergi berkerja. Apabila berada di luar negara saya akan cuba untuk berehat sepenuhnya. Selalunya saya akan bawa baju workout dan juga kasut jogging di dalam beg sekiranya saya tidak sempat untuk menjalani latihan hari sebelum berkerja. Semua hotel yang kami menginap memiliki gim yang serba lengkap cukup untuk saya menjalani latihan. Kadang-kala saya akan berjogging di luar kawasan hotel, pada masa yang sama saya dapat menikmati pemandangan dan juga bersenam.



GLAM Lelaki: Ceritakan serba sedikit tentang transformasi diri anda dari dulu dan kini sasa dan tegap?


HAFIZ FEROZ: Kebanyakan sukan yang saya ceburi merupakan sukan yang memerlukan stamina dan daya tahan kardiovaskular yang tinggi. Pada masa saya aktif bersukan, berat badan saya adalah dalam lingkungan 58kg. Saya amat kurus pada waktu itu.Selepas saya berhenti dari bersukan dan mula berkerja, saya kerap ke gim untuk bersenam kerana hanya itu yang dapat membantu saya untuk memenuhi masa lapang apabila saya berada di Malaysia. Saya mula mengambil serius tentang pemakanan dan juga latihan yang saya lakukan. Segala ilmu yang dipelajari semasa saya berkerja dengan syarikat Fitness First, mula diterapkan dalam latihan saya. Segala latihan yang saya lakukan, saya akan merekodkan dalam sebuah buku. Ini membolehkan saya memantau prestasi saya.


Berbasikal adalah antara aktiviti fizikal yang sering dilakukan Hafiz sebelum mula berjinak-jinak membuat badan di gim.


 


GLAM Lelaki: Bagaimana pula dengan rutin kecergasan harian anda?


HAFIZ FEROZ: Rutin kecergasan saya adalah seperti berikut iaitu Isnin – Dada (Chest), Selasa – Belakang Badan (Back), Rabu – Bahu (Shoulder), Khamis – Kaki (Legs), Jumaat – Bisep dan Trisep, Sabtu – Kardio dan Otot Perut (Abs), Ahad – Rehat. Itu merupakan rutin harian yang saya tetapkan namun akan ada perubahan bila saya berada di luar negara. Saya merupakan salah seorang peminat pada kaedah training FST-7. Anda boleh mencari kaedah training FST-7 di dalam YouTube. Itu merupakan salah satu rahsia untuk transformasi saya.



GLAM LelakI: Siapakah idola mahupun inspirasi anda dalam bidang kecergasan.


HAFIZ FEROZ: Idola saya dalam bidang kecergasan ialah Ryan Terry.


GLAM Lelaki: Apa yang anda ingin buktikan apabila anda mulai membuat badan dan terlibat dalam dunia kecergasan?


HAFZI FEROZ: Pada mulanya ia merupakan hobi semata-mata. Kemudiannya ia menjadi rutin harian dan lama kelamaan saya menjadi obses untuk menjaga badan. InshaAllah pada tahun 2019 saya akan memasuki pertandingan Men’s Physique pertama untuk saya. Saya ingin membuktikan yang saya boleh melakukan sesuatu jika saya berusaha keras. Semuanya atas dasar usaha dan semangat untuk mencapai sesuatu yang diidamkan.



GLAM Lelaki: Kenangan dan pahit manis dalam dunia kecergasan ini.


HAFIZ FEROZ: Saya pernah mengalami kecederaan di bahagian lutut kanan saya pada umur 15 tahun ketika giat menjalani latihan intensif olahraga. Kecederaan tersebut memaksa saya berehat sepenuhnya dari segala aktiviti selama 4 bulan. Setelah menjalani rawatan fisio setiap minggu selama 4 bulan, barulah saya mula kembali menjalani latihan seperti biasa.


GLAM Lelaki: Nasihat buat mereka yang ingin berjinak-jinak dalam bidang kecergasan?


HAFIZ FEROZ: Jangan mudah putus asa. Selalunya ramai yang mahu menjaga badan mereka tetapi lama kelamaan motivasi mereka untuk bersenam akan mula berkurangan kerana saya pernah mengalami situasi sebegitu. Nasihat saya, jangan mudah mengalah dan mudah putus asa. Apa yang kita nak, pasti akan dapat jika kita berusaha.



Penyelaras / Teks / Konsep / Penata Gaya: Wan Mohd Firdaus | Foto: Instagram @fotobyali / www.fotobyali.com | Pakaian: GUESS dan UNDER ARMOUR | Lokasi: Xclusive Fitnesz Seksyen 13 Shah Alam / @xclusivefitnesz


#Bagi anda yang ingin tampil secara eksklusif dalam GLAMLELAKI.MY untuk ruangan Transformasi Zero 2 Hero, anda boleh PM atau DM Facebook & Instagram @glamlelaki, atau penulis di Instagram @wanmohdfirdaus.


The post ‘KREW KABIN WAJIB FIT DAN SIHAT’ – HAFIZ FEROZ KONGSI TIP KEKAL SIHAT WALAU SELALU DI AWAN BIRU appeared first on Glam Lelaki.


Norlida Ishak Shop