Expired : 18.06.18

Kumpulan Nasyid Fareast Kembali Bersatu Demi 'Pewaris'




Kamaruddin Razal



Hiburan


Kumpulan Nasyid Fareast Kembali Bersatu Demi 'Pewaris'
Kumpulan nasyid Fareast yang sebelum ini terkenal dengan lagu Menanti di Barzakh kini kembali bersatu demi merealisasikan sebuah single baru yang didedikasikan khas buat Allahyarham Datuk Dr Haron Din yang berjudul Pewaris.

Selain ditujukan kepada Allahyarham, lagu tersebut juga didedikasikan kepada semua para murabbi umat yang telah pergi meninggalkan kita termasuk juga dua lagi adik-beradik ulama tersohor ini iaitu Allahyarham Ustaz Ishak Din dan Allahyarham Datuk Seri Abu Hasan Din Al Hafiz.

Kumpulan Fareast yang kini terdiri dari tiga orang ahli iaitu Shairiman Badzri, Nabil Ahmad dan Azwan Ibrahim mengambil inisiatif menjemput bekas anggota lama Fareast iaitu Ahmad Fadzli dan Naim Helmi untuk terlibat sama merakamkan single terbaru mereka ini.

"Alhamdulillah, kejayaan kami baru-baru ini meraih anugerah bagi kategori Vokal Terbaik dan Lirik Terbaik dalam acara Anugerah Nasyid IKIM telah membakar semangat kami untuk terus menghasilkan karya baru," kata Azwan.


Lagu berjudul Pewaris ini adalah gubahan saudara Ahmad Fadzli sendiri manakala liriknya adalah karya penulis lirik nasyid terkenal Ito Lara.

"Kebetulan pula, kami sudah lama terlibat dengan beberapa acara anjuran Persatuan Perubatan, Pengubatan dan Kebajikan Islam Malaysia Darussyifa' yang diasaskan oleh Allahyarham Datuk Dr Haron Din dan pernah mengadakan persembahan nasyid di hadapan beliau dahulu.

“Pihak persatuan telah bersetuju untuk kami menghasilkan sebuah lagu tribut untuk Allahyarham," tambah Nabil yang juga merupakan anak saudara kepada pengasas Darussyifa ini.

Lagu Pewaris yang baru dilancarkan pada minggu lalu kini boleh didengari di seluruh platform penstriman digital dan video muziknya boleh ditonton di rangkaian YouTube Inteam Digital.