Expired : 18.06.18

Laksana Skim Kawalan Harga Maksimum bendung kenaikan harga [METROTV]

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan Skim Kawalan Harga Maksimum sebagai langkah membendung kenaikan harga barangan keperluan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga bermula 15 hingga 28 April ini.


Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, skim itu perlu dibuat sebagai langkah membendung kenaikan harga barangan secara mendadak.


“Memandangkan kita akan memulakan PKP seterusnya, jadi kita faham kemungkinan ada peniaga yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menaikkan harga .


“Oleh itu, mesyuarat hari ini memutuskan KPDNHEP perlu melaksanakan Skim Harga Maksimum, selalunya skim kawalan harga ini akan dibuat sewaktu musim perayaan.


“Tetapi, kita memutuskan tak perlu tunggu musim perayaan, masuk sahaja PKP ketiga ini Skim Kawalan Harga Maksimum mesti dilaksanakan,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.


Ismail Sabri berkata, senarai produk terbabit akan diumumkan KPDNHEP.


“Ini untuk memastikan tiada kenaikan harga barangan walaupun PKP diteruskan,” katanya.


Selain itu, Ismail Sabri berkata, bekalan barangan basah dan kering terutama beras adalah lebih daripada mencukupi.


Katanya, perkara itu dimaklumkan Kementerian Pertanian Malaysia (MOA) dan industri makanan dalam taklimat ketika mesyuarat jawatan kuasa khas menteri pagi hari ini.


Justeru, katanya, rakyat tidak perlu bimbang mengenai bekalan makanan sama ada cukup atau sebaliknya, walaupun PKP fasa ketiga akan dilaksanakan minggu depan.


“Ini kerana MOA dan KPDNHEP sudah membuat pemeriksaan dan didapati bekalan mencukupi.


“Jangan ada timbul pembelian panik dan sebagainya kerana saya sudah jelaskan semuanya mencukupi,” katanya.


ISMAIL Sabri Yaakob. FOTO Bernama
ISMAIL Sabri Yaakob. FOTO Bernama