Expired : 18.06.18

Lang Merah elak terlalu yakin

SKUAD KEDAH perlu mengelak melakukan sebarang kesilapan jika mahu menang pada pertemuan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, minggu depan.


Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Mohd Asmirul Anuar Aris, berkata skuad Lang Merah kendalian Ketua Jurulatih, Aidil Sharin Sahak juga perlu memanfaatkan setiap peluang yang ada untuk menjaringkan gol sebagai bekalan untuk ke Kuantan nanti.


Katanya, apa yang lebih penting semua pemain perlu fokus seratus peratus dan tidak boleh ambil mudah hingga akhirnya menghukum pasukan di laman sendiri.


"Bagaimanapun saya berpuas hati dengan prestasi pasukan dan menaruh kepercayaan kepada Aidil membuat perancangan secukupnya dan merencanakan taktikal mantap bagi membenam skuad Tok Gajah.


"Mereka perlu kekalkan momentum sedia ada, kita tak boleh terlalu yakin dan selesa sebalik perlu bersedia serta memastikan moral pemain dalam keadaan baik," katanya selepas merasmikan Sambutan Bulan Sukan Negara Peringkat Negeri Kedah di Mini Stadium Pendang di sini, pagi ini.


Kedah sebelum ini mara ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan PKNP FC dengan agregat 6-2 di peringkat suku akhir.


Kedah dan Pahang akan beraksi perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia yang dijadualkan pada 19 Oktober ini di Stadium Darul Aman.


Sementara itu, ketika diminta mengulas langkah kerajaan memperuntukkan RM10 juta dalam Belanjawan 2019 kepada pembangunan e-Sukan, Asmirul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, berkata pihaknya yakin menerusi peruntukkan itu lebih ramai jaguh e-Sukan dari Kedah dapat dilahirkan selepas ini.


"Kedah selama ini mempunyai ramai jaguh e-Sukan, namun disebabkan masalah fasiliti mereka berhijrah ke negeri lain.


"Tapi melalui peruntukkan ini kita akan melatih seramai mungkin jaguh e-Sukan dan seterusnya dapat mewakili negara pada penampilan sulung sukan berkenaan di Sukan SEA Manila 2019," katanya.


Norlida Ishak Shop