Expired : 18.06.18

Lantikan MB: Adun Sungai Manik nafi menghadap Sultan Perak


IPOH, 30 Jamadilakhir 1440H, Khamis – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin menafikan dakwaan kononnya beliau dipanggil menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bagi menggantikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.


Beliau berkata, dakwaan itu berniat jahat dan pada masa sama mahu merenggangkan hubungannya dengan Ahmad Faizal.


“Secara peribadi saya tidak ada tekanan dengan apa yang ditularkan termasuk yang terkini (kononnya) saya menghadap tuanku (untuk dilantik Menteri Besar), semuanya pada saya tidak benarlah.


“Kalau mendapat sesuatu berita ataupun perkara-perkara berkaitan dengan pentadbiran kerajaan negeri, adalah lebih baik ia dirujuk kesahihannya kepada individu yang berkenaan,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.


Sebelum ini, ada dakwaan Zainol Fadzi yang juga Penasihat Menteri Besar Perak, menghadap Sultan Nazrin bagi dilantik ke jawatan menteri besar.


Pihak tertentu mendakwa lantikan itu dibuat kerana kononnya Ahmad Faizal gagal mentadbir kerajaan negeri dengan baik.


Sementara itu, ditanya mengenai pertemuan beliau dengan beberapa pemimpin dan wakil rakyat Barisan Nasional, Zainol Fadzi berkata perbincangan mereka hanya terarah kepada masalah dan isu rakyat di kawasan masing-masing.


“Saya tidak tahu dari mana isu (sertai BN) timbul,” katanya.


Beliau berkata, isu tersebut sengaja didendangkan bagi mencemar kredibiliti dan imej kerajaan negeri di mata rakyat.


“Saya rasa isu ini dimainkan semula kerana sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pun dah nak bermula kembali dan dengan adanya isu seumpama ini, ia diharap mampu menarik perhatian rakyat,” katanya. – Bernama


The post Lantikan MB: Adun Sungai Manik nafi menghadap Sultan Perak appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop