Expired : 18.06.18

Laporan 6 anggota bomba lemas dibentang ke Kabinet


PUTRAJAYA, 8 Jamadilakhir 1440H, Rabu – Laporan Jawatankuasa Siasatan Kematian Enam Orang Anggota Bomba di Lombong Taman Putra Perdana, Puchong pada 3 Oktober 2018, dijangka dibentangkan kepada Kabinet pada 27 Februari ini.


Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dalam kenyataan hari ini berkata, laporan tersebut telah dibentangkan dan diserahkan kepadanya semalam.


“Hasil laporan siasatan dan tindakan penambahbaikan akan diumumkan setelah jawatankuasa siasatan ini melaporkan hasil laporan siasatan secara rasmi kepada menteri-menteri Kabinet nanti,” katanya.


Menurut Zuraida, gerak kerja Jawatankuasa Siasatan Kematian Enam Orang Anggota Bomba itu telah dilaksanakan selama 21 hari sejak 26 November 2018 hingga 14 Januari lepas. 


Katanya, penubuhan jawatankuasa itu dipersetujui Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada 16 November tahun lepas (2018) bagi mengkaji dan mengenal pasti punca sebenar kejadian dan seterusnya mencadangkan langkah penambahbaikan agar insiden seperti itu tidak berulang lagi pada masa hadapan.


Zuraida berkata, kematian enam anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) pada 3 Oktober itu adalah insiden pertama dalam sejarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sepanjang 135 tahun penubuhannya. 


Enam mangsa yang terkorban terdiri daripada empat anggota Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dikenali sebagai Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24.


Dua lagi mangsa adalah dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam yang dikenal pasti sebagai Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.


Dalam kejadian pada 9.15 malam itu, kesemua mangsa sedang dalam operasi mencari dan menyelamat seorang remaja berusia 17 tahun yang lemas setelah tergelincir dan terjatuh ke dalam lombong tersebut ketika memancing. -Bernama


The post Laporan 6 anggota bomba lemas dibentang ke Kabinet appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop