Expired : 18.06.18

Latheefa gesa polis tahan bekas menteri Umno dituduh cabul remaja

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN, Latheefa Koya menggesa polis agar menahan bekas menteri yang didakwa mencabul seorang remaja perempuan untuk siasatan.


Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL) itu berkata keputusan pelajar berusia 15 tahun tersebut untuk menarik balik laporan polisnya adalah sangat mencurigakan.


Latheefa mengulas laporan berita terkini yang memetik Ketua Polis Perlis SAC Noor Mushar Mohamed sebagai berkata remaja menarik laporannya sehari selepas laporan dibuat, minggu lalu.


“Apa yang sangat meragukan dan pelik adalah Noor Mushar mendakwa pengadu telah menarik balik laporannya.


“Ini membingungkan kerana laporan polis berkenaan jenayah tidak boleh ditarik balik. Ia perlu disiasat. Undang-undang dan prosedur mana yang dirujuknya?” soalnya dalam kenyataan.


Menurutnya, siri kejadian tersebut mengundang tanda tanya yang perlu diselesaikan.


“Pada masa sama, jika laporan itu berasas, tanpa mengira sama ada ia telah ditarik balik, mengapa pelaku atau suspek masih bebas? Polis perlu bertindak segera untuk mendapatkan bukti, termasuk menahan suspek yang dinamakan remaja itu.


“Jelas hal yang melibatkan serangan seksual terhadap remaja ini melibatkan kepentingan awam, dan menjadi lebih serius kerana dikatakan melibatkan seorang ahli politik,” katanya lagi.


Sementara itu, Latheefa menggesa kementerian wanita, keluarga dan pembangunan masyarakat agar segera mengesan remaja itu dan menjamin dia mendapat bantuan, kaunseling dan perlindungan yang sepatutnya.


Norlida Ishak Shop