Expired : 18.06.18

Latheefa kena laksana tugas tanpa takut atau memihak


BANGI, 2 Syawal 1440H, Khamis – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baharu, Latheefa Beebi Koya perlu membuktikan beliau boleh melaksanakan tugas ‘tanpa takut atau memihak’, demi memerangi gejala rasuah di semua peringkat.


Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya mengalu-alukan pelantikan Latheefa dalam agensi rasuah itu.


“Mengikut Seksyen 5(1), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009, Yang di-Pertuan Agong melantik Ketua Pesuruhjaya SPRM atas nasihat Perdana Menteri.


“PAS mengucapkan selamat menjalankan tugas dengan penuh integriti kepada Latheefa Koya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu untuk tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu.


Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty itu menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang memohon memendekkan kontrak beliau lebih awal daripada yang sepatutnya pada 17 Mei 2020.


Pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu menimbulkan pertikaian ramai pihak berikutan beliau pernah memegang jawatankuasa tertinggi sebuah parti iaitu PKR.


Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan, pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu dibuat atas keputusannya sendiri.


Beliau berkata, pelantikan berkenaan tidak dibincangkan dengan Kabinet.


Difahamkan, Dr Mahathir telah mendengar pandangan pelbagai pihak dan membuat penilaian sebelum membuat keputusan berhubung pelantikan itu.


The post Latheefa kena laksana tugas tanpa takut atau memihak appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop