Expired : 18.06.18

‘Lebih baik fokus pembangunan ekonomi daripada ICERD’

BANGI, 30 Safar 1440H, Khamis – Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa kerajaan Pakatan Harapan, memberi perhatian yang lebih kepada dasar pembangunan negara, berbanding memilih untuk meratifikasi perjanjian antarabangsa.


Dalam satu kenyataan, Akhramsyah Muammar Ubaidah Tan Sri Sanusi mempersoal tindakan kerajaan mahu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), sedangkan rakyat di luar bandar termasuk petani, katanya, masih bimbang isu pengurangan subsidi kepada mereka.


Nelayan juga katanya, masih tidak jelas mengenai peruntukan untuk mereka, manakala kesan kejatuhan harga getah ketika ini juga sepatutnya perlu ditangani.


“Adakah isu-isu ini tidak lebih relevan, dan tidakkah mereka diberi keutamaan di hadapan ICERD?,” soalnya.



Akhramsyah berkata, adalah lebih baik juga kerajaan memberi tumpuan kepada isu pengharaman Kesatuan Eropah terhadap minyak kelapa sawit Malaysia.


“Pastinya rakyat akan menghargai lebih banyak usaha yang memberi kesan ke arah meningkatkan mata pencarian mereka,” katanya.


Akhramsyah, yang juga salah seorang pengasas parti Bersatu berkata, antara sebab PH menang dalam pilihan raya umum lepas, kerana rakyat penat dengan permainan ahli politik terhadap isu kaum dan agama.


Katanya, rakyat mahukan pemimpin yang baru dilantik memberi tumpuan bagi meningkatkan kebajikan mereka dan tidak terganggu oleh perdebatan yang lebih menjurus ke arah perpecahan.


ICERD adalah Konvensyen yang bertujuan menghapuskan segala bentuk diskriminasi termasuk ‘diskriminasi positif’ seperti hak orang Melayu, kedudukan istimewa Islam serta Raja-Raja Melayu.


The post ‘Lebih baik fokus pembangunan ekonomi daripada ICERD’ appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop