Expired : 18.06.18

LEGASI 007 BERSAMA SWATCH

Gambar: Swatch

Menjelang tayangan filem No Time To Die yang kini telah ditangguhkan ke November tahun ini, jenama jam tangan Swiss, Swatch, memperkenalkan koleksi khas James Bond untuk para peminat setia ejen perisik ikonik ini.


Sejak pengenalan James Bond melalui filem Dr. No pada tahun 1962, seramai tujuh pelakon sudah dipertanggungjawabkan untuk menghidupkan watak fiksyen ciptaan novelis Iam Fleming ini, merangkumi 27 filem sepanjang 58 tahun. 


Maka, sebagai sebagai satu penghargaan kepada legasi layar perak James Bond, himpunan Swatch x 007 membentangkan tujuh jam tangan desain khas berinspirasikan beberapa filem ikonik daripada francais ini.


Jam tangan Dr. No 1962 (berharga RM400) adalah dedikasi kepada filem debut James Bond, lakonan Sean Connery. Rekaannya merujuk opening sequence filem Dr. No yang menunjukkan ‘tarian’ bintik-bintik berwarna pada latar belakang hitam. Sementara perkataan ‘NO’ mewakili indeks jam pada dail plastik 41 mm.


Swatch Dr. No 1962


Filem On Her Majesty’s Secret Service 1969 pula menampilkan pelakon Australia, George Lazenby, iaitu satu-satunya pemegang watak James Bond bukan berasal dari UK. Desain jam tangan filem ini (RM400) memetik tagline posternya, “Far up! Far out! Far more!”


Swatch On Her Majesty’s Secret Service 1969


Model berinspirasikan filem Moonraker 1979 (RM400) merujuk eksplorasi James Bond ke angkasa lepas, dalam penampilan keempat pelakon Roger Moore sebagai ejen British ini. Roket Moonraker dilihat merentasi dail bercorakkan langit malam dipenuhi bintang.


Swatch Moonraker 1979


Timothy Dalton mula tampil sebagai James Bond dalam filem Licence To Kill 1989. Jam tangan tribute-nya (34 mm, RM360) berlatarbelakangkan lokasi filem, bertempat di Florida selain merujuk kulit iguana, yakni haiwan peliharaan watak antagonis, Franz Sanchez.


Swatch Licence To Kill 1989


Rekaan jam tangan The World Is Not Enough 1999 (RM400) pula simbolik rekaan poster filem yang menyaksikan giliran Pierce Brosnan untuk menghidupkan watak Bond. Dail model 41 mm ini mewakili laras pistol yang sudah sinonim dengan opening sequence siri filem ini.


Swatch The World Is Not Enough 1999


Untuk filem yang memperkenalkan kita kepada Daniel Craig sebagai ejen 007, Swatch sekali lagi mencedok ilham dari title sequence filem jam Casino Royale 2006 (34 mm, RM360) yang menjadikan kasino sebagai motif utamanya.


Swatch Casino Royale 2006


Sungguhpun keenam-enam model Swatch x 007 ini punya identiti dan tarikan tersendiri, jam tangan ketujuh pasti hadir sebagai yang teristimewa. Kerana berlainan daripada model-model lain, jam tangan Swatch Q ini akan membuat kemunculan dalam sebuah karya filem James Bond. Yakni, filem No Time To Die, episod terkini siri perisik ini yang akan ditayangkan hujung tahun ini.


Ben Whishaw sebagai Q dalam filem No Time To Die. © 2020 DANJAQ, LLC AND MGM.


Bakal dilihat pada pergelangan tangan watak Q, lakonan Ben Whishaw, model Swatch Q (berharga RM855) telah direka cipta bersama pereka kostum No Time To Die, iaitu Suttirat Anne Larlarb. Mewakili personaliti dan stail Q, jam model SKIN Irony daripada keluli tahan karat ini dihiasi tali kulit tartan plaid bersisi merah dengan dail kemasan sun-brushed yang memdedahkan mekanisme pergerakan kompleks terkandung dalam case 42 mm. Satu sinergi antara tradisi dan teknologi sofistikated.


Jam tangan Swatch Q dipakaikan dalam filem No Time To Die. © 2020 DANJAQ, LLC AND MGM.


Kesemua jam koleksi terhad Swatch x 007 ini berkuasa kuarza dan kalis air hingga 3 meter, dan boleh didapati di stor atas talian Swatch.


The post LEGASI 007 BERSAMA SWATCH appeared first on Glam Lelaki.