Expired : 18.06.18

Lelaki berpistol larikan 237 rantai emas bernilai RM462,000


JOHOR BAHRU, 3 Ramadan 1440H, Jumaat  – Seorang lelaki dipercayai bersenjatakan pistol melarikan barangan kemas bernilai kira-kira RM462,000, dalam satu kejadian samun di sebuah kedai emas, di pusat membeli-belah di Taman Universiti, Skudai, semalam.


Ketua Polis Johor Bahru Utara (JBU), ACP Mohd Taib Ahmad berkata, lelaki berkenaan yang berjaket gelap dan putih serta memakai penutup mulut dan helmet bervisor gelap, mendekati kedai itu pada jam 12.23 tengah hari.


Ketika kejadian, terdapat lima pekerja termasuk pengawal dalam kedai berkenaan.


“Suspek mengugut supaya memberi kerjasama dan memaklumkan bahawa dirinya mempunyai pistol. Disebabkan ketakutan, mangsa (pekerja kedai) telah mengeluarkan barang kemas daripada empat bekas di dalam meja seperti yang diminta oleh suspek.


“Suspek kemudian melarikan diri bersama 237 utas rantai emas pelbagai jenis, dengan menaiki motosikal yang diletakkan di hadapan kedai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.


Ini adalah kali pertama kejadian samun berlaku di premis berkenaan dan berdasarkan semakan, nombor pendaftaran motosikal yang digunakan suspek adalah palsu.


“Pengawal keselamatan kedai emas berkenaan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara, untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Sesyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya. -Bernama


The post Lelaki berpistol larikan 237 rantai emas bernilai RM462,000 appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop