Expired : 18.06.18

Lelaki dicekup khalwat beri alasan takut ada cicak besar di bilik sendiri

SEORANG lelaki yang ditahan ketika tidur bersama dua rakan perempuannya di atas katil sebuah bilik chalet di Pulau Perhentian, Besut memberi alasan takut tidur di bilik bersendirian kerana ada cicak besar.


Lelaki berusia 20-an itu memberi alasan berkenaan ketika ditahan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) jam 3.30 pagi Jumaat lalu ketika sedang tidur bersama dua rakan perempuannya yang masing-masing berusia 20-an dan 30-an.


Ketua Penolong Pesuruhjaya (Penguatkuasaan) JHEAT, Nik Zuhaiza Ismail, siasatan mendapati pada awalnya, mereka bertiga yang datang bersama menyewa dua buah chalet bersebelahan.


“Bagaimanapun semasa serbuan, didapati bilik disewa atas nama lelaki itu kosong sebelum pemeriksaan di bilik bersebelahan mendapati dia sedang tidur lena bersama dua rakan perempuannya yang mana salah seorang berstatus isteri orang.


“Setelah disoal siasat, lelaki itu memberi alasan yang tidak masuk akal kononnya terpaksa menumpang tidur di dalam bilik tersebut kerana takut dengan kehadiran cicak besar di dalam biliknya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.


Nik Zuhaiza memberitahu, dalam operasi disertai seramai 30 anggota penguat kuasa JHEAT itu, turut ditahan sepasang kekasih yang sedang lena tidur di dalam sebuah chalet.


“Setelah disoal siasat, lelaki berusia 40-an itu memberi alasan dia tertidur di dalam bilik teman wanitanya yang berusia 20-an selepas mengambil barang di situ.


“Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 31 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana khalwat,” katanya.


The post Lelaki dicekup khalwat beri alasan takut ada cicak besar di bilik sendiri appeared first on NewMalaysianPost.com.


Norlida Ishak Shop