Expired : 18.06.18

Lelaki Ini Kongsikan Pengalaman Menonton Konsert Karya Agung ‘Pak Ngah’

Semasa menulis ini, saya masih dalam perjalanan ke Kuching, ia sebuah memori yang sukarnya saya nak lupa, sedap diingat, menjadi senyum sendiri dan berlagu dalam kepala berterus-terus tanpa henti.


Boleh jadi kita semua berentak dan berpencak apabila mendengar alunan yang kita suka. Kita lenggokkan bahu dengan gerakan kecil, suara kita pun antara dengar dan tidak, ia irama yang melagukan suara jiwa dengan bunyi yang mendamaikan.



Ada seorang anak Melayu kita, lahir di Kuala Lumpur pada setahun selepas Merdeka. Beliau ini, kagum serta jatuh cinta dengan industri muzik hinggakan berusaha mengangkat darjat Malaysia ke tangga dunia. Kita mencecahnya, menyentuh serta menggenggam semua itu dengan apa yang beliau lakukan.


pak-ngah-data

Sumber: Berita Mediacorp



Senyumnya, lenggoknya, beliau gerakkan badan semasa bermain alat muzik, seiring dengan perjalanannya, ia sebuah usaha yang tidak dibuat-buat. Kita nampak dia sedang bercinta. Sebutlah siapa yang pernah dibangunkannya, semuanya berseni dan kita menyambut bola itu dengan penuh gaya.


Lalu kita berkongsi rasa dan ikut bercinta sama. Dan akhirnya ia menjadi irama kepada negara, Irama Malaysia.


Itulah Pak Ngah Suhaimi Mohd Zain. Saya ikuti konsert Karya Agung Pak Ngah ini dua malam berturut-turut. Duduk di kerusi paling hadapan, mengikuti satu demi satu perjalanan anak seni ini dan mengimbau kenangan yang cukup besar kepada kita semua, rakyat Malaysia.


Rupa-rupanya, Pak Ngah adalah seorang yang sangat berusaha. Dari menaikkan lagu serta ketinggian sastera dari Usman Awang, hinggalah membangunkan penyanyi seorang demi seorang, beliau ada misi dan visi yang cukup jitu, iaitu semua karyanya mesti menjadi igauan kepada yang melihat dan mendengar.


Teater Rubiah, Aladdin, kemudiannya Uda dan Dara, lalu menjadi pengarah besar dalam konsert pertama dan konsert Mega Siti Nurhaliza, Pak Ngah terus menjadi orang belakang tabir nombor satu yang menguruskan lagu, susun atur gerak tari serta irama dan menjadikan satu-satu program seni itu sebuah memori yang sukarnya nak dilupakan.


20180926124033

Sumber: catsfm



Malam tadi, Orkestra Tradisional Malaysia membuka dengan suara bergema. Bunyi serta irama dari berpuluh alat muzik berdentum di dalam Panggung Sari Istana Budaya. Ia memainkan lagu-lagu gubahan Pak Ngah.


Siso dan Hairul Anuar Harun bercakap-cakap tentang Pak Ngah di atas pentas. Kemudian masuk Ernie serta Syamel. Semuanya melagukan perjalanan Pak Ngah dengan sangat baik. Paduan suara mereka ini diperakui semua, sedap, nyaring, berdentang denting kita pun turut mengikut.


Rojer masuk dengan lenggok besar. Membawa lagu zapin yang serasi benar dengan suaranya. Lagu Laksamana Mati Dibunuh benar-benar buat kami mengalir air mata. Walau Rojer bergurau senda, namun bayangan Pak Ngah kuat benar menjelma. Tubuhnya, senyumnya, cara menyanyinya, lenggoknya, semua sama. Asmidar menyambung dengan Dikir Puteri yang pernah dipopularkan oleh Noraniza Idris dan terus memukau hadirin.


Kemudian, bergemalah suara “Hendaklah Hendak hendak ku rasa, puncaknya gunung hendak ku tawan.” Lalu menjeritnya semua manusia di dalam panggung dan Dato Sri Siti Nurhaliza keluar dengan masterpiece Pak Ngah yang paling popular dalam sejarah, Cindai.


Lagu ini dibuat istimewa kepada Siti. Yang mana waktu itu kita semua terkejut dan siapa yang mendengar, tergila-gila. Suaranya kecil, nyaring dan panjang itu menyebabkan kita mahu mendengar lagi dan lagi. Dan malam tadi, suara yang sama itu berkumandang di dalam istana Budaya.


Buat kali pertama kami tahu rahsia Siti bersama dengan keluarga Pak Ngah. Rupa-rupanya, insan yang bernama Datuk Suhaimi Mohd Zain ini besar jasanya kepada Siti. Beliau antara yang paling awal membawa Siti ke dunia hiburan bersaiz mega. Dari kemenangan HMI hinggalah ke konsert demi konsert, inilah manusia yang menjadi tulang belakang serta cikgu yang cukup hebat.


Guru yang ini bukan sekadar yang boleh memarahi Siti, namun teguran serta nasihat itu Siti ambil sebagai kasih sayang anak beranak. Siti membesar dalam lagu demi lagu dalam ciptaan Pak Ngah,


Dari Cindai ke Balkis, Ya Maulai, Hati Kama dan Nirmala, kemudian membawa lagu paling mencabar serta berbeza alunan dan rentaknya, Kurik Kundi, Siti Berjaya mencabar diri dan Pak Ngah untuk menjadikan semua kisah di dalam irama itu berhantu di telinga pendengar. Dan nyata, ia sebuah kejayaan besar.


Cindai misalnya, sudah berusia lebih 20 tahun, dan masih didengarkan di radio dan mana-mana pentas oleh penyanyi lain serta Siti. Dan masih mendapat tepukan paling gemuruh setiap kali dinyanyikan.


Pak_Ngah_Suhaimi_2609

Sumber: malay mail



Semasa Ya Maulai dipentaskan, kami sebaris mengesat-ngesat air mata. Berjujuran jatuh susahnya nak dicantas. Terasa mahu tunduk sahaja tak mahu melihat. Lagu ini menghantar mesej kepada kita yang merindu. Ia sebuah rintihan besar seorang yang sangat menyayangi kita semua.


Lebih lagi Siti membawakan nostalgia persembahan Anugerah Juara Lagu 2001 dan ianya memenangi anugerah persembahan terbaik. Istimewanya lagu ini ialah mempunyai penari dari 3 generasi. Anak kecil, dewasa dan orang tua. Dan malam tadi, Siti bawa kesemuanya. Ya Tuhan, bergetar-getar jiwa dibuatnya.


“Pintaku padamu bintang,
Kirimkan aku sinarmu,
Moga jadi kencana,
Hiasan kasih di jiwaku,


Pesanku padamu sayang,
Bawalah pulang hatiku,
Mogakan selamanya,
Engkau bernafas di sisiku.”


Rintihan ini didengari semua, dan kami malam tadi menyambutnya dengan gembira bercampur hiba. Ia bergelut elok hinggalah di akhirnya itu, Siti membawakan lagu pop ciptaan Pak Ngah dengan persembahan penuh artistic, Kudus Sinarmu.


Sebelum itu, ada kenangan perpisahan kita semua bersama Pak Ngah dipertontonkan. Bagaimana jenazah dibawa keluar dari Batam dan dikebumikan di Ampang. Boleh kata semua menitis air mata.


Malam tadi, yang tidak kenal dengan Pak Ngah, yang sudah kenal, atau sudah lama tahu, terus mencintai karya dan segala kerja yang beliau lakukan. Kita semua tahu dan akur, Pak Ngah sudah pergi, dan kita tak tahu siapa yang akan mengganti insan ini untuk mengangkat darjat Irama Malaysia seperti yang Pak Ngah lakukan.


Ya, Pak Ngah sudah tiada, seperti yang Siti katakan,


“Karya Pak Ngah akan terus hidup sampai bila-bila.”


Tahniah Istana Budaya, Tahniah Dato Sri Siti Nurhaliza, OTM, penari serta semua yang terlibat dalam menjayakan konsert ini. Ia sebuah penghormatan, penghargaan dan hadiah kepada usaha gigih Pak Ngah dalam memartabatkan irama kita semua ke pentas yang tinggi nilainya.


Semoga Mak Ngah, Megat dan Rina terus kuat dan tabah, semoga juga terus mendapat rahmat dan kasih sayang Allah. Sama-sama membacakan surah Al-Fatihah buat Pak Ngah. Begitulah.


Penulis turut pernah berkongsi pengalaman menonton konsert hebat Siti Nurhaliza di Axiata Arena. Turut dikongsikan, penulisan mengenai sikap jutawan ini yang konsisten dalam menyantuni anak-anaknya. Klik pautan di bawah untuk artikel penuh.



Pengalaman Saya Menonton Konsert ‘Sold Out’ Hebat Siti Nurhaliza Di Axiata Arena





Jutawan Ini Lebih Menyantuni Anak Mereka Walaupun Sedang Berurusan Dalam Bisnes




Norlida Ishak Shop