Expired : 18.06.18

Lelaki terbabit aktiviti pembalakan haram ditahan

ALOR SETAR, 20 Jamadilakhir 1441H, Jumaat – Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) menahan seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam aktiviti pembalakan haram yang membabitkan kerugian bernilai lebih RM100,000 di kompartmen 50, Hutan Simpan Rimba Teloi dekat Sik semalam.


Pengarahnya, Roslan Rani berkata lelaki tempatan berusia 26 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4.45 petang berdasarkan maklumat awam serta risikan berhubung kegiatannya itu sejak tiga hari lepas.


“Kegiatan ini kita kesan dengan penemuan laluan masuk yang masih baharu ke kawasan hutan simpan itu dan menemui 10 tunggul dan empat batang balak yang belum sempat dibawa keluar dari hutan terbabit selain sebuah jengkaut dan lori.


“Sebelum itu, pihak kami menemui longgokan kayu di kawasan tanah perseorangan berhampiran hutan simpan berkenaan dan mengesyaki wujudnya kegiatan pembalakan haram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Roslan berkata sebanyak 48 tual balak pelbagai jenis seperti meranti, tembaga, meranti sarang punai, keledang, medang dan sesenduk dirampas dalam operasi itu.


Beliau berkata soal siasat terhadap suspek mengakui kesemua jentera itu adalah miliknya sebelum dia ditahan untuk tindakan lanjut.


Menurutnya, suspek dipercayai menjalankan aktiviti itu bersama beberapa individu lain termasuk mengupah beberapa pekerja menebang pokok bernilai untuk dijual.


“Modus operandinya menjadikan tanah milik perseorangan berhampiran Hutan Simpanan Kekal sebagai tempat pengumpulan kayu-kayu balak bagi mengaburi mata penguat kuasa,” katanya.


Roslan berkata pihaknya memandang serius perkara itu dan tidak teragak-agak mengambil tindakan kepada pihak yang melakukannya. Penguatkuasaan akan diteruskan bagi memastikan salah laku berkaitan perhutanan dapat dibendung.-Bernama


The post Lelaki terbabit aktiviti pembalakan haram ditahan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.