Expired : 18.06.18

Lesap RM132,000 dalam tempoh sehari akibat Macau Scam


KUANTAN, 11 Ramadan 1440H, Khamis – Seorang pensyarah wanita ‘kehilangan’ RM132,000 dalam tempoh sehari selepas diperdayakan sindiket Macau Scam kononnya dirinya terlibat dalam kegiatan dadah.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supritenden Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 60 tahun itu mendakwa semua wang berkenaan dipindahkan ke dalam empat akaun lain semalam, yang kononnya diberikan oleh ‘inspektor’ dari Melaka.


“Mangsa mendakwa dihubungi pegawai wanita dari Mahkamah Majistret Melaka memberitahu dirinya mempunyai tunggakan kad kredit. Walaupun menafikan dakwaan itu, mangsa diarahkan untuk bercakap dengan suspek lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Inspektor Mohd Yusuf.


“Suspek menakutkan mangsa dengan mengatakan dirinya terlibat dengan aktiviti dadah dan pengubahan wang haram menyebabkan mangsa perlu memindahkan wang untuk tujuan semakan kesahihan wang miliknya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.


Mohd Wazir berkata, mangsa segera menuruti arahan suspek pada sebelah petang dan terus tidak dapat menghubungi ‘pegawai polis’ itu selepas itu, menyebabkan dia berasa telah ditipu.


Sehubungan itu, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.


Pada kes berasingan, seorang peniaga kerugian RM31,090 selepas cuba membuat pinjaman wang daripada ‘syarikat’ yang mengiklankan tawaran pinjaman termasuk kepada mereka yang disenarai hitam di laman sosial.


Mohd Wazir berkata, mangsa berumur 34 tahun itu mendakwa telah meninggalkan nombor telefon di laman sosial itu pada 26 April lepas kerana berhasrat untuk meminjam RM100,000 sebelum dihubungi ‘wakil syarikat’ tersebut beberapa hari kemudian.


“Mangsa mendakwa dia diminta membuat bayaran untuk tujuan pengurusan, membuka akaun baharu, proses mematikan setem dan pelbagai tujuan lain sebelum boleh mendapatkan wang pinjaman,” katanya.


Sehingga semalam, mangsa telah melakukan transaksi pemindahan wang sebanyak lima kali ke dalam tiga akaun diberikan suspek, namun tidak pernah menerima wang yang dijanjikan. – Bernama


The post Lesap RM132,000 dalam tempoh sehari akibat Macau Scam appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop