Expired : 18.06.18

Leverkusen kejutkan Atletico

BAYER Leverkusen menghidupkan peluang untuk mara ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara selepas mengutip mata penuh pertamanya apabila menewaskan Atletico Madrid 2-1 di Leverkusen, awal pagi tadi.


Meskipun berdepan cabaran hingga ke penghujung serta kad merah, Leverkusen meraih kemenangan berbaloi dan pastinya membingungkan penyokongnya mengapa mereka tidak mempamer aksi hebat sebegini lebih awal.


Atletico yang boleh layak ke pusingan 16 terakhir lebih awal jika menang, sebaliknya gagal melakukan percubaan di babak pertama bahkan ketinggalan apabila Thomas Partey tertanduk bola ke gawang sendiri 10 minit sebelum rehat.


Charles Aranguiz cuba mengeluarkan bola dari penjuru kanan apabila pemain Ghana itu tertanduk bola ke dalam gol sendiri.


Leverkusen menambah jaringan 10 minit selepas rehat.


Karim Bellarabi merembat leret ke penjuru kanan yang gagal disambut Felipe dan Kevin Volland mengawal baik sebelum merembat deras melepasi jangkauan penjaga gol, Jan Oblak.


Aksi bertukar ganas selepas itu menyaksikan pemain kedua-dua pasukan berkumpul di kawasan Atletico hingga empat pemain dilayangkan kad kuning.


Sejurus selepas insiden itu, pemain Leverkusen, Nadiem Amiri dibuang padang angkara kekasaran menyaksikan kelab Bundesliga itu mengharungi baki enam minit dengan 10 pemain.


Alvaro Morata berjaya mengurangkan defisit gol pada hujung perlawanan dan Atletico hampir menyamakan kedudukan namun cubaan tepat Morata diselamatkan penjaga gol, Lukas Hradecky menggunakan kakinya.


Dalam pada itu, pendahulu Kumpulan D, Juventus mara dengan bekalan 10 mata daripada empat aksi manakala Atletico meraih tujuh mata dan Lokomotiv Moscow bersama Leverkusen berkongsi tiga mata.


Norlida Ishak Shop