Expired : 18.06.18

Lima negatif ujian doping

KEPUTUSAN doping lima atlet angkat berat kebangsaan yang dilakukan secara mengejut oleh Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) Julai lalu didapati negatif.


Mengesahkan perkara itu, Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Datuk Ayub Rahmat berkata, lima atlet angkat berat yang menjalani ujian pada 31 Julai lalu adalah atlet senior Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad, Aznil Bidin, Erry Hidayat, Yusoff Nandong dan Nur Atikah Mahamad Sobri.


Katanya, pelbagai prosedur tambahan membabitkan ujian semula dan kenal pasti bahan dijalankan sepanjang sampel dihantar ke makmal antarabangsa di Qatar.


“Selepas menunggu enam minggu, hari ini PABM menerima keputusan yang menggembirakan.


“Jelas menunjukkan seminar, bengkel dan sesi penerangan yang dijalankan secara berterusan oleh PABM, Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Sukan Negeri, Adamas serta persatuan negeri membuahkan hasil,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.


Ayub berkata, berita baik itu juga satu petanda positif menjelang Sukan Malaysia (Sukma) di Johor tahun depan.


“Saya harap sesi penerangan dapat dilakukan secara berterusan supaya atlet angkat berat benar-benar faham serta tidak membabitkan diri dalam pengambilan bahan larangan ini,” katanya.


Norlida Ishak Shop