Expired : 18.06.18

Liverpool Akan Menjadi Juara EPL Jika Dapat Bantuan Angin

Harus benar arus angin dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) sedang beralih – atau lebih tepat lagi dari Liverpool ke Manchester.


Daripada berkelebihan tujuh mata di mercu carta Disember lalu, The Reds kini mengekori City dengan jurang setipis satu mata di tangga kedua.


Liverpool baru tewas hanya sekali dalam kempen musim ini – 1-2 kepada City di Etihad, 4 Januari lalu – tetapi diikat seri tujuh kali (kehilangan 14 mata di situ saja untuk keseluruhannya hilang 17 mata) dibandingkan dengan City yang seri dua dan tewas empat (kehilangan 16 mata).


Namun, perbezaannya, empat daripada keputusan seri Liverpool itu berlaku dalam enam perlawanan terakhir sepanjang tempoh yang sama City memenangi lima perlawanan terakhir mereka.


Harus malang buat Liverpool, semua itu berlaku pada saat-saat getir menuju laluan lurus ke garis penamat yang hanya berbaki sembilan perlawanan lagi.


Jelas sekali daripada pertemuan ‘derby’ Merseyside dengan Everton kelmarin yang sekadar terikat 0-0 menyerlahkan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, sedang panik.




Pengurus berusia 51 tahun itu menyasarkan wartawan untuk menghamburkan segala kekecewaannya apabila taktiknya dipersoalkan – dia memilih untuk bermula dengan Divock Origi di barisan depan berbanding Roberto Firmino dan terus mempertahankan Mohamed Salah yang kemarau jaringan dalam tiga perlawanan berturut-turut.


Salah hanya menjaringkan satu gol dalam enam perlawanan terakhirnya di sebalik dia tidak boleh dipersalahkan semata-mata atas kemunduran Liverpool kini.


Terdesak untuk mendapatkan gol pada penghujung perlawanan, Adam Lallana sebaliknya yang dibawa masuk di tempat Sadio Mane sedangkan bangku pemain simpanan menawarkan Daniel Sturridge dan Xherdan Shaqiri yang lebih baik untuk meningkatkan serangan.


Apa pula kata Klopp?


Bahawa ini bukan permainan PlayStation yang membuat segala-galanya mudah.


Merumuskan kegagalan memenangi perlawanan dengan musuh setempat itu, Klopp menyalahkan arah angin yang tidak menentu sepanjang perlawanan itu.



“Satu perlawanan yang sangat-sangat sukar atas sebab-sebab berbeza berdepan dengan pasukan lawan yang liar,” katanya kepada Sky Sports selepas perlawanan.


“Saya tahu orang tidak akan menyukainya bila saya mengatakan ini – angin datang dari pelbagai arah berbeza, anda sendiri lihat itu dalam banyak keadaan.


“Ia tidak membantu dalam permainan bola sepak, terutama ketika bola banyak di udara. Ia tidak mudah dikawal disebabkan perkara seperti itu, kami mendapat tiga atau empat peluang besar.”





Namun, ia bukanlah alasan baru. Lebih awal musim ini, Klopp turut menyalahkan angin dalam kekalahan 1-2 kepada Wolves di tempat lawan dalam pusingan ketiga Piala FA, 8 Januari lalu.


Dia turut menyalahkan salji ketika Liverpool seri 1-1 dengan Leicester di Anfield, 31 Januari lalu.
Gara-garanya juga, Klopp menjadi bahan dipersendakan ramai di media sosial hingga sebuah akhbar British menyiarkan fotonya selaku penyampai ramalan kaji cuaca di televisyen.



“Klopp telah menyalahkan angin dua kali musim ini, menyalahkan padang kering, permukaan licin dek salji, rumput terlalu panjang dan tiga kecederaan pemain United dalam separuh masa pertama. Malah, dia pernah menyalahkan penyiar rasmi televisyen,” sindir@mufcaways melalui Twitter.



Apa yang dikhuatiri, Klopp akan kehabisan alasan dalam tempoh terdekat ini.


Namun, realitinya ketika ini ialah dengan berkelebihan tujuh mata ketika memasuki tahun baru, Liverpool kini bertukar peranan sebagai penghambat City.


Jangan pula hujung-hujungnya nanti, harapan Liverpool untuk menamatkan penantian 29 tahun bagi menjuarai EPL semula turut terbang dibawa angin.


Post Views: 18


Norlida Ishak Shop