Expired : 18.06.18

Liverpool, Chelsea buru Piala Super UEFA

JURGEN Klopp menggesa Liverpool mengekalkan tradisi memenangi trofi apabila mereka menentang Chelsea dalam aksi Piala Super UEFA, awal pagi Khamis ini.


Perlawanan di Istanbul itu mengimbau kembali memori kejayaan menewaskan AC Milan menerusi penentuan penalti pada final Liga Juara-Juara 2005 dan kini mereka menentang musuh Liga Perdana, Chelsea di ibu kota Turki.


Perlawanan pembuka tirai musim Eropah itu mungkin tidak dipandang serius tetapi kedua-dua kelab sudah pasti mahu menambah koleksi mereka dengan Liverpool baharu sahaja menamatkan kemarau tujuh tahun kejuaraan Eropah pada Jun lalu dan Frank Lampard teruja memulakan misi sebagai pengurus Chelsea dengan langkah kanan.


Kedua-dua kelab memenangi trofi itu masing-masing empat kali tetapi sembilan daripada 10 pemenang terakhir dari Sepanyol.


Sejarah turut tercipta di Istanbul apabila Stephanie Frappart menjadi pengadil wanita pertama mengadili kejohanan utama di Eropah tetapi tumpuan utama di Vodafone Park, venue kelab Besiktas sudah pasti aksi kedua-dua kelab.


Selepas tewas menerusi penentuan penalti kepada Manchester City dalam aksi Perisai Komuniti, Liverpool bangkit bergaya membenam Norwich City 4-1 dengan Mohamed Salah, Virgil van Dijk dan Divock Origi menjaringkan gol.


Bagaimanapun, kemenangan itu dibayangi kecederaan Alisson yang terpaksa direhatkan beberapa minggu.


Penjaga gol dari Sepanyol, Adrian akan mengambil alih tugas Alisson dan Klopp berharap pasukannya akan dapat mempamerkan prestasi ketika menewaskan Tottenham Hotspur dalam aksi final Liga Juara-Juara di Madrid.


"Kekal tamak. Itu sangat penting. Saya tak ragu-ragu mengenainya tetapi kami perlu melakukannya,” kata Klopp.


"Kami tidak mahu hanya memenangi Liga Juara-Juara. Kami mahu lebih daripada itu tetapi kami tahu ia sukar. Ini peluang terbaik kami selepas ini jadi kami perlu melakukannya,” kata Andy Robertson dalam laman web kelab.


Chelsea pula menempah slot Piala Super UEFA selepas menewaskan Arsenal pada final Liga Europa tetapi banyak perubahan berlaku selepas itu.


Jurulatih Maurizio Sarri dan bintang mereka, Eden Hazard meninggalkan kelab dengan Lampard kini mengambil alih selepas hanya semusim mengendalikan kelab bawahan, Derby County.


"Kami tahu kami boleh menjadi lebih baik. Kami perlu menghadapinya. Kami akan menentang pasukan yang bagus dan kami sedia untuk itu esok,” kata Cesar Azpilicueta yang menggesa rakan sepasukan melupakan kekalahan 0-4 kepada Manchester United, Ahad lalu.


Norlida Ishak Shop