v LTTE: Empat suspek dipindahkan ke Mahkamah Tinggi
Expired : 18.06.18

LTTE: Empat suspek dipindahkan ke Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR, 14 Rabiulakhir 1441H, Rabu – Kes empat lelaki termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P. Gunasekaran yang didakwa terbabit dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Keempat-empat individu itu ialah P. Gunasekaran, 60, ahli DAP V. Suresh Kumar, 43, pengusaha restoran B. Subramaniam, 57, dan pengutip besi buruk A.Kalaimughilan, 28 tahun.

Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob membuat keputusan itu, selepas Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi memaklumkan bahawa pihaknya telah mendapat keizinan daripada Jabatan Peguam Negara untuk memindahkan kes berkenaan.

“Mahkamah membenarkan kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. Permohonan berhubung jaminan juga boleh dikemukakan di mahkamah itu. Oleh itu, saya batalkan permohonan berhubung jaminan oleh tertuduh (Gunasekaran, Suresh Kumar dan Subramaniam) di Mahkamah Sesyen,” kata Rozina.

Sementara itu, mahkamah menolak permohonan jaminan dikemukakan oleh Kalaimughilan selepas mendengar hujahan peguamnya, Yoges M. Verasuntharam dan seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad.

Yoges memohon jaminan itu atas alasan anak guamnya memerlukan rawatan luar kerana masalah kesihatan.

Bagaimanapun, Aslinda berkata, laporan perubatan itu menunjukkan bahawa ia hanya laporan biasa dan tiada afidavit daripada doktor, yang menyatakan bahawa tertuduh terlalu sakit dan perlu mendapat rawatan di luar.

Aslinda berkata, hanya Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa eksklusif untuk mendengar sebarang isu sama ada berkaitan pertuduhan, jaminan atau apa-apa permohonan.

“Bukan kami (pendakwaan) ingin melengahkan permohonan jaminan kerana kes ini melibatkan kepentingan awam dan keselamatan. Kes berkaitan akta keselamatan hanya boleh dibicarakan di Mahkamah Tinggi dan pengakuan hanya akan direkodkan serta isu berhubung jaminan boleh dikemukakan di mahkamah itu,” katanya.

Peguam Ramkarpal Singh mewakili Gunasekaran dan Suresh Kumar manakala peguam S.Selvam mewakili Subramaniam.

Pada 31 Oktober lepas, Gunasekaran, Suresh Kumar dan Subramaniam masing-masing didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE, dengan cara menggunakan aplikasi sosial Facebook atas nama berlainan.

Gunasekaran didakwa menggunakan nama “DAP Guna Palanisamy”, Subramaniam atas nama “US SUBRA SUBRAMANIAM” dan Suresh Kumar dengan nama “RocketSuresh DAP”.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8 (M) Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, di sini pada 7 Oktober dan 11 Oktober 2019 pada masa berlainan, iaitu 2.00 petang, 5.30 petang dan 6.00 petang.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan, atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Kalaimughilan pula didakwa dengan pengetahuan telah mengedar item yang berkaitan dengan LTTE di Dewan Tan Sri Soma, Wisma Tun Sambanthan, Jalan Sultan Sulaiman, Kampung Attap di sini, kira-kira jam 8.00 malam hingga 11.30 malam, 17 Mac, 2014.

Pada 29 Oktober, dia dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang, di sini, atas dua pertuduhan memiliki item berkaitan dengan kumpulan LTTE di sebuah rumah di Jalan Anggerik 5D, Bukit Sentosa, Rawang dan di dalam sebuah kereta di tempat sama, pada jam 9.30 pagi dan 12.35 petang, 10 Oktober lepas.

Kesemua pertuduhan terhadap Kalaimughilan dikemukakan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan dilucutkan mana-mana item itu, jika sabit kesalahan. -Bernama

The post LTTE: Empat suspek dipindahkan ke Mahkamah Tinggi appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.