Expired : 18.06.18

Lulusan Undang-Undang… Adinda Sultan Kelantan, TENGKU AMALIN AISHAH PUTRI Pernah Bergelar Majistret!



YAM Tengku Amalin Aishah Putri

Terpikat dengan aura cantik dan raut wajah penuh kelembutan milik adinda Ke bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Muhammad V, Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Amalin Aishah Putri ini. Anggun berhijab dan senyuman yang lekang terukir di bibir… keperibadian YAM Tengku Amalin Aishah Putri sentiasa menjadi inspirasi kepada ramai kaum wanita di luar sana.


Menjelang bulan Jun depan, genap tujuh tahun YAM Tengku Amalin melayari bahtera perkahwinan bersama suami tercinta, YAM Pengiran Muda Abdul Qawi Ibni DYTM Pengiran Hj Mohamed Bolkiah. Istimewanya pada tahun ini, rumah tangga YAM Tengku Amalin dan YAM Pengiran Muda Abdul Qawi diserikan dengan kehadiran cahaya mata ketiga Yang Amat Mulia Pengiran Anak Tengku Zaafirah Muizzah Bolkiah Putri Binti YAM Pengiran Muda Abdul Qawi.


YAM Tengku Amalin bersama suami



Memetik laporan yang disiarkan menerusi Instagram Koleksi Foto Sultan Muhammad V, YAM Pengiran Anak Tengku Zaafirah Muizzah Bolkiah Putri selamat dilahirkan di Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan pada hari Rabu, 18 Jamadil Akhir 1441H bersamaan 12 Februari 2020 pada jam 10 pagi.


Mengimbas kembali detik penyatuan jiwa YAM Tengku Amalin dan YAM Pengiran Muda Abdul Qawi, pasangan diraja Kelantan Darul Naim dan Brunei Darussalam ini selamat diijabkabulkan pada sebelah malam, hari Khamis 27 Jun 2013 di Istana Mahkota, Kubang Kerian. YAM Tengku Amalin Aishah Putri ialah satu-satunya puteri kepada DYMM Almarhum Sultan Ismail Petra dan YMM Raja Perempuan Tengku Anis.


Manakala pengantin lelaki iaitu YAM Pengiran Muda Abdul Qawi ialah anakanda saudara kepada DYMM Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam. YAM Pengiran Muda Abdul Qawi merupakan putera sulung dari 10 beradik kepada DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal Waqar Pengiran Muda Haji Mohamed Bolkiah dan YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah Almarhum Pengiran Pemancha.


Wajah terkini YAM Tengku Amalin Aishah Putri

Terdahulu, YAM Tengku Amalin Aishah Putri dan YAM Pengiran Muda Abdul Qawi dikurniakan dua orang puteri. Puteri sulung iaitu YAM Pengiran Anak Tengku Afeefah Musyafa’ah Bolkiah Putri lahir pada 13 April 2014 di Hospital Mount Elizabeth, Singapura. Sementara puteri kedua, YAM Pengiran Anak Tengku Azzahra Iffatul Bolkiah Putri pula Jun 2016.


Di samping dilimpahi dengan kebahagiaan berkeluarga, YAM Tengku Amalin Aishah Putri juga pernah berkhidmat dalam bidang perundangan selama beberapa tahun. Sesuai dengan kelulusannya dalam bidang undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), pada awal kariernya YAM Tengku Amalin Aishah Putri telah memulakan tugas sebagai seorang Majistret di salah sebuah mahkamah di Kota Bharu bermula dari pertengahan tahun 2006 hingga 2009.


Setelah itu, YAM Tengku bertukar ke Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur dengan jawatan sebagai Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah. Dan akhir sekali memegang jawatan Timbalan Pendaftar sebelum kembali menyambung pengajian peringkat Master dalam bidang undang-undang di Universiti Melbourne, Australia.


Kini di samping menjalani kehidupan rumah tangga bersama suami dan anak-anak tercinta, YAM Tengku Amalin Aishah Putri juga memiliki firma guaman sendiri yang dibuka bersama dua lagi rakan kongsi.


Sumber: Instagram Koleksi Sultan Muhammad V