Expired : 18.06.18

Lyles, Coleman sasar Olimpik Tokyo

LUPAKAN Usain Bolt, kini beralih semula ke Amerika Syarikat.


Ketika Kejohanan Olahraga Dunia menutup tirai di Doha awal pagi tadi, pelari pecut AS meraikan pungutan pingat terbanyak mereka dalam tempoh lebih dua dekad.


Selepas hanya meraih satu pingat emas dalam acara pecut lelaki di London dua tahun lalu, AS kini pulang dengan lima emas.


Ia kutipan terbesar sejak enam emas pecut dimenangi AS pada Kejohanan Dunia 2007 di Osaka, setahun sebelum dominasi sedekad Bolt bermula pada Sukan Olimpik Beijing.


KUARTET 4x100m AS (dari kiri) Lyles, Michael Rodgers, Coleman dan Justin Gatlin meraikan kemenangan mereka awal pagi tadi. — FOTO EPA



Di Doha, pasukan lelaki AS meraih emas dalam acara 100m, 200m dan 110m lari berpagar sebelum kejayaan dalam acara berganti-ganti 4x100m dan 4x400m.


Lebih penting, Doha mengesahkan kemunculan generasi baharu pelari pecut AS yang akan menuju ke Olimpik Tokyo tahun depan sebagai pelari pilihan.


Christian Coleman, juara baharu 100m dunia dan Noah Lyles, pemenang acara 200m, mempamerkan persembahan di Doha yang menjanjikan mereka mampu mendominasi dalam beberapa tahun akan datang.


Coleman, yang berjaya mengelak daripada digantung bagi kejohanan itu sesudah terlepas tiga ujian dadah dalam tempoh setahun, muncul lelaki keenam terpantas dalam sejarah apabila mencatat 9.76 saat ketika menang 100m.


KEJOHANAN Olahraga Dunia melabuhkan tirai di Stadium Antarabangsa Khalifa, awal pagi tadi. — FOTO EPA



Lyles pula menang emas 200m dengan masa 19.83s.


Kedua-dua Coleman, 23, dan Lyles, 22, bersedia untuk bermusuh di balapan pada tahap tertinggi musim depan.


Selepas mengehadkan hanya satu acara individu di Doha, Coleman dan Lyles berazam untuk memburu kejuaraan berganda 100m-200m di Tokyo.


“Kami amat kompetitif dan muda jadi kami akan membawa obor AS dalam acara pecut,” kata Coleman mengenai permusuhannya dengan Lyles.


Norlida Ishak Shop