Expired : 18.06.18

Lynas: ‘Kami tidak akan kutip sisa dari mana sekalipun’ – Australia

WALAUPUN pertemuan dengan Menteri Alam Sekitar Malaysia, Yeo Bee Yin hanya akan berlangsung hujung bulan ini, Australia awal-awal lagi melaungkan pendirian bahawa mereka tidak akan mengambil sisa buangan daripada kilang pemprosesan nadir bumi Lynas dari Kuantan.


Menteri Petroleum dan Perlombongan Australia Barat, Bill Johnston berkata, walaupun Malaysia mahu bertemu untuk membincangkan perkara berkenaan, pendirian negara tersebut adalah sangat jelas iaitu tidak akan mengutip sisa daripada mana-mana negara sekalipun.


Johnston dijadualkan bertemu Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin pada hujung bulan ini.


Bee Yin sebelum ini berharap Australia akan mengambil semula sisa buangan yang merupakan hasil sampingan daripada pemprosesan bahan nadir bumi yang dilombong di Gunung Weld di Australia Barat.


“Mereka (Malaysia) telah meminta untuk mengadakan mesyuarat itu, hal tersebut terpulang kepada mereka.


“Pendiran kami sangat jelas. Kami tidak akan mengambil sisa yang diproses dari mana-mana pun di dunia ini.


“Kami adalah pengeksport bahan mentah secara besar-besaran dan apabila ia diproses di luar negara, ia perlu ditangani di luar negara,” tegasnya, petik laporan Australian Financial Review.


Kenyataan terbaru Johston ini dilihat satu tamparan awal kepada Bee Yin yang dijangka membangkitkan isu tersebut dalam pertemuan mereka 20 Jun ini.


Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dilaporkan bahawa Malaysia akan terus membenarkan Lynas beroperasi di negara ini, walaupun sebelum ini syarikat itu mendapat kritikan hebat ekoran cara mereka menguruskan sisa buangan di Gebeng, Pahang.


Dr Mahathir berkata, sekiranya lesen itu tidak diperbaharui, negara akan kehilangan pelaburan yang sangat besar.


Operasi Lynas menjadi antara isu panas yang menghangatkan kempen pilihan raya umum lalu dengan beberapa pemimpin kerajaan hari ini yang ketika itu pembangkang, mendesak supaya ia ditutup.


Antara yang lantang ketika itu ialah Lim Guan Eng yang kini merupakan menteri kewangan, malah beberapa kali menyetai siri bantahan dan desakan penutupan Lynas.


Bee Yin bagaimanapun berkata, pihaknya akan bertemu dengan Australia bagi membincangkan isu tersebut, satu langkah yang dilihat mahu meredakan kritikan umum.


The post Lynas: ‘Kami tidak akan kutip sisa dari mana sekalipun’ – Australia appeared first on NewMalaysianPost.com.


Norlida Ishak Shop