Expired : 18.06.18

Mahkamah tangguh hukuman penjara ke atas Wan Ji

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini menerima permohonan aktivitis PKR, Wan Ji Wan Hussin untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 1 tahun yang dikenakan ke atasnya Selasa lalu.


Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Abdul Halim Aman membuat keputusan itu selepas menerima permohonan dikemukakan peguam Radzlan Jalaluddin.


Terdahulu, Radzlan membuat permohonan lisan untuk menangguhkan sabitan hukuman sehinggalah selesai rayuan terhadap keputusan itu.


Bagaimanapun, Abdul Halim mengarahkan pasukan pembelaan untuk memfailkan permohonan rasmi bagi tujuan penangguhan hukuman itu.


Abdul Halim turut mengenakan sekatan keluar negara ke atas Wan Ji sehingga proses rayuannya selesai.


Pada 9 April 2018, Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara 9 bulan ke atas Wan Ji kerana memuat naik perkataan menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah, termasuk membabitkan isu agama di Facebook pada 5 November 2012.


Beliau didakwa di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 yang boleh dikenakan denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.


BACA: Ini 6 status Wan Ji di Facebook yang akhirnya mengheretnya ke penjara


Untuk kesalahan ke-2 dan seterusnya beliau boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 5 tahun jika sabit kesalahan.


Hukuman penjara ke atas Wan Ji menimbulkan polemik politik apabila beberapa pemimpon Pakatan Harapan (PH) mempertikaikan hukuman tersebut sambil mendesak kerajaan segera mamansuhkan Akta Hasutan.


Hukuman penjara ke atas Wan Ji turut dikritik oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim yang berkata ia terlalu keras dan tidak konsisten dengan reformasi demokratik.


Katanya, ini memandangkan kerajaan PH berjanji untuk memansuhkan akta terbabit sebelum ini.


Isu itu turut diperdebatkan di media sosial apabila tersebar poster enam hantaran Facebook Wan Ji yang menyebabkannya diheret ke mahkamah dan akhirnya dipenjarakan.


Wan Ji ialah ahli Dewan Ulama PAS Selangor sebelum menyertai PKR pada Julai 2015.


Beliau kemudian dilantik sebagai pegawai penerangan di pejabat ketua menteri Pulau Pinang pada September 2017.


The post Mahkamah tangguh hukuman penjara ke atas Wan Ji appeared first on NewMalaysianPost.com.


Norlida Ishak Shop