Expired : 18.06.18

Maksiat berleluasa undang azab Allah


1. Dalam serbuan ke atas pesta liar malam tadi, pengunjung dikatakan sedang asyik menari di pentas malah ada yang sedang mandi-manda dalam kolam. Pesta berkenaan yang mendapatkan kelulusan permit daripada pihak berwajib bagaimanapun dikatakan bertukar menjadi pesta liar apabila ada dalam kalangan pengunjung dipercayai menyediakan bekalan dadah dan minuman keras.


2. Di dalam al-Quran, Allah mengingatkan kepada kita bahawa terdapat beberapa tempat yang dimusnahkan oleh Allah disebabkan kerosakan yang dilakukan oleh penduduk tempat tersebut. Firman Allah:


وَكَمْ أَهْلَكْنَا مِنْ قَرْيَةٍ بَطِرَتْ مَعِيشَتَهَا


“Dan berapa banyak Kami binasakan negeri-negeri yang penduduknya telah berlaku sombong (dan melakukan kerosakan).”


3. Ketika menghuraikan ayat ini, al-Imam Ibn Kathir menegaskan bahawa yang dimaksudkan dengan mereka yang sombong adalah:


طغت وأشرت، وكفرت نعمة اللّه فيما أنعم به عليهم من الأرزاق


“Iaitu mereka yang melampau batas (melakukan perlakuan taghut), melakukan kerosakan (dan maksiat), dan mereka yang kufur (tidak mensyukuri) kurniaan yang telah Allah kurniakan kepada mereka. (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim).


4. al-Imam al-Tabari pula menjelaskan bahawa perkataan (batirat) di dalam ayat 58 surah al-Qasas ini membawa maksud:


أَشَرّ أَهْل الْغَفْلَة وَأَهْل الْبَاطِل وَالرُّكُوب لِمَعَاصِي اللَّه


“Mereka yang lalai serta ahli-ahli batil ini melakukan kejahatan dan maksiat.” Ia menggambarkan perlakuan maksiat yang berleluasa. (al-Tabari, Jami al-Bayan)


Ini bererti, kerosakan serta maksiat yang dilakukan oleh manusia mengundang kemurkaan Allah.


5. Dalam ayat yang seterusnya pula Allah menegaskan:


وَمَا كُنَّا مُهْلِكِي الْقُرَى إِلَّا وَأَهْلهَا ظَالِمُونَ


“Dan kami tidak akan memusnahkan sesuatu tempat melainkan penduduk tempat itu melakukan kezaliman.” (al-Qasas: 59)


6. Apa yang dimaksudkan dengan kezaliman? Menurut al-Imam al-Qurtubi, mereka yang melakukan kezaliman ini adalah mereka yang engkar serta kufur kepada Allah sekalipun setelah diberi peringatan berkali-kali. (al-Qurtubi, Jami li Ahkam al-Quran).


7. Bahkan Rasulullah turut mengingatkan kita tentang kerosakan yang mengundang azab ini. Rasulullah memberikan huraian lebih terperinci dengan menyebutkan bahawa gejala zina adalah di antara pengundang azab Allah dan tanda-tanda kecil kiamat. Sabda Rasulullah:


«لا تزال أمتي بخير ما لم يفش فيهم ولد الزنا، فإذا فشا فيهم ولد الزنا فأوشك أن يعمهم الله بعذاب»


“Sesungguhnya umatku berada dalam keadaan baik selagi mana tidak berleluasanya anak zina. Sekiranya berleluasanya kelahiran anak zina, maka dibimbangi Allah akan menimpakan mereka dengan azab.” (HR Ahmad. Dinilai hasan oleh al-Albani)


8. Perlu difahami juga, bahawa liwat dan perlakuan lesbian (LGBT) juga telah disamakan dengan perlakukan zina. Ini adalah kerana Allah menyifatkan zina dan liwat dengan sifat yang sama iaitu perbuatan yang terkeji (fahishah) seperti yang termaktub di dalam al-Quran.


9. Gejala zina dan perlakuan songsang LGBT ini adalah fenomena yang harus dirawat segera. Ia merosakkan masyarakat bahkan mengundang azab Allah. Jangan pula ada yang berkata, ini semua adalah dosa peribadi. Jangan juga ada yang berkata “kita seharusnya bersikap rahmatan lil alamin dan membiarkan maksiat mereka.” Ini adalah konsep rahmah yang menyeleweng.


Bacaan lanjut tentang konsep rahmah:
https://www.researchgate.net/…/329223144_Konsep_Rahmatan_Li…


Dr. Ahmad Sanusi Azmi,
Ahli Majlis Ulama Isma


Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).



The post Maksiat berleluasa undang azab Allah appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop