Expired : 18.06.18

Malam tahun baru penuh noda

LELAKI berstatus suami dicekup berkhalwat dengan seorang wanita di hotel bajet di Jalan Tambang Badak, Alor Setar, malam tadi.


Lelaki berusia 38 tahun itu dicekup sepasukan anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) dengan seorang wanita berstatus janda berusia 31 tahun pada 1 pagi.


Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, dalam serbuan itu, pihaknya mengambil masa kira-kira 30 minit menunggu pintu dibuka pasangan berkenaan.


Beliau berkata, pintu kemudian dibuka seorang lelaki yang berpakaian lengkap manakala pasangannya ditemui bersembunyi dalam bilik air.


"Hasil soal siasat mendapati, lelaki itu dipercayai sudah berkahwin dan berasal dari Bedong, Sungai Petani manakala pasangannya pula berasal dari Selangor dan bekerja di negeri ini.


"Mereka memberi alasan takut disebabkan lelaki itu bimbang perkara itu diketahui isterinya menyebabkan mereka mengambil masa lama untuk membuka pintu bilik berkenaan," katanya di sini awal pagi tadi.


Radzi berkata, dalam serbuan kedua di bilik bersebelahan di hotel itu, seorang lelaki dicekup berkhalwat dengan pasangannya yang menetap di Langkawi.


Beliau berkata, mereka dicekup selepas gagal menunjukkan sebarang dokumen menunjukkan bukti mereka mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.


"Lelaki yang bekerja sebagai mekanik itu berasal dari bandar raya ini manakala pasangannya pula dari Langkawi bekerja sebagai jurujual kasut di pulau itu.


“Mereka dicekup kerana disyaki berkhalwat," katanya.


Sementara itu, dalam pemeriksaan di sebuah rumah tumpangan di Jalan Pegawai, di sini, seorang wanita dicekup kerana disyaki berkhalwat dengan lelaki yang didakwa sepupunya dalam sebuah bilik pada 3 pagi.


Wanita berstatus isteri orang berusia 29 tahun itu membawa bersama bayinya yang berusia sekitar 6 bulan ketika berada dalam bilik itu bersama lelaki terbabit.


"Hasil pemeriksaan mendapati wanita itu menetap di Melaka manakala pasangannya menetap di bandar raya ini.


"Kita tahan kesemua mereka (tiga pasangan) berusia antara 19 hingga 38 tahun kerana disyaki berkhalwat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Kedah 2014 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.


Turut serta dalam operasi itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar dan Agama negeri, Datuk Dr Ismail Salleh.


Operasi yang bermula 12 tengah malam hingga 4 pagi itu tertumpu di sekitar bandar raya ini sempena malam tahun baru, semalam.


Norlida Ishak Shop