Expired : 18.06.18

Malang jika ada ijazah tapi ibarat penjual ubat bijak berauta


BANGI, 9 Jamadilakhir 1440H, Khamis – Sesat lagi menyesatkan jika menjadikan Nabi Muhammad ﷺ sebagai perbandingan dengan menteri atau mereka yang didakwa tidak memiliki ijazah, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.


Katanya, beliau ditunjukkan kenyataan seorang menteri yang dikatakan mempunyai ijazah tinggi dan dibanggakannya, sambil menegaskan bahawa Rasulullah ﷺ tiada ijazah.


“Kenyataannya boleh ditafsirkan dengan pelbagai maksud yang tersurat dan tersirat. Cumanya sangat malang dan sesat lagi menyesatkan, kalau dibandingkan mereka yang didakwa tidak berijazah itu dengan Nabi Muhammad ﷺ yang dikatakan tidak berijazah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Beliau tidak menafikan ijazah itu penting, tetapi malangnya jika memiliki sijil itu tanpa ilmu atau ada ijazah yang dibeli.


“Tidak boleh dinafikan adanya ijazah itu penting dan ada ilmu serta pengalaman juga penting. Sangat baik bagi mereka yang ada kedua-duanya dan tidak menjadi salah kalau ada ilmu dan pengalaman tanpa ijazah.


“Tetapi lebih malang kalau ada ijazah tetapi tiada ilmu, dan lebih malang lagi kalau ijazahnya dibeli (walaupun tidak dinamakan rasuah) dan buta akalnya yang lebih besar dan bahaya daripada buta huruf dan paling berbahaya bagi seseorang buta al-Quran.


“Bagi manusia yang tidak berilmu, sangat penting untuk melihat ijazahnya yang bertulis. Kadang-kadang sudah mencukupi menilai seseorang dengan cara berfikir dan hasil kerjanya yang matang, walaupun tidak berijazah,” katanya.


Ahli Parlimen Marang itu memberi contoh Allahyarham Hamka yang hanya belajar di sekolah biasa, madrasah dan masjid, tetapi dinobatkan sebagai ilmuan pada zamannya dan menerima ijazah kedoktoran daripada Universiti Al-Azhar, Mesir, tanpa belajar di sana.


Abdul Hadi berkata, Presiden Algeria, Abdul Aziz Bouteflika hanya memiliki sijil Thanawi, tetapi dinilai rakyat kerana peranannya berjihad sejak zaman penjajah dan dilantik dengan pengalaman dan ketajaman akalnya, sehingga pernah menjadi menteri luar dan akhirnya diangkat sebagai presiden.


“Tetapi sangat malang kalau dilantik kerana pandai menipu dan bohong, walaupun ada ijazah tarafnya laksana penjual ubat yang melariskan ubat kerana pandai bohong, bijak berauta dan putar alam. Bukan kerana ubatnya yang sebenar, tetapi sebabnya tergoda kepada cakap dan temberangnya sahaja.


“Adapun Rasul Allah, Nabi Muhammad ﷺ adalah paling tinggi ilmu dan keilmuannya sehingga lebih daripada taraf ijazah dan paling bijaksana serta mulia akhlak dan sifat kemanusiaannya walaupun buta huruf.


“Adalah perkara luar biasa kerana Baginda ﷺ ditugaskan membawa mukjizat ilmu bagi segala ilmu pada akhir zaman dengan mendapat kurnia paling tinggi daripada Allah yang memiliki kerajaan yang mengatasi segala kerajaan, termasuk semua yang bertaraf kuasa besar dunia pada zaman purba dan terkini. Semua raja-raja dan pemimpin di bawah kekuasaannya,” katanya.


The post Malang jika ada ijazah tapi ibarat penjual ubat bijak berauta appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop