Expired : 18.06.18

Malaysia bimbing Brunei dapat pengiktirafan pasukan penyelamat

Malaysia akan menjadi mentor kepada Brunei bagi memastikan pasukan penyelamat negara itu mendapat pengiktirafan antarabangsa yang dinamakan INSARAG (International Search and Rescue Advisory Group).


Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata pengiktirafan INSARAG membolehkan pasukan mencari dan menyelamat sesebuah negara mengetuai misi menyelamat di luar negara.


“Pasukan SMART Malaysia mendapat pengiktirafan INSARAG pada tahun 2016 dan kini sedang dalam rundingan membentuk satu MOU yang sudah dibincang ketika lawatan saya ke sana pada 27 Februari lalu.


“Terbukti, penyertaan berterusan SMART di dalam negara dan antarabangsa merupakan satu manifestasi status elit pasukan ini,” katanya ketika berucap pada sesi lawatan ke markas SMART di Pulau Meranti, Puchong pagi ini.


Presiden KEADILAN itu yakin penglibatan pasukan penyelamat SMART di peringkat antarabangsa sejak 22 tahun lalu membuka mata Brunei untuk memilih Malaysia sebagai mentor.


Wan Azizah berkata, SMART pernah menghulurkan bantuan di Indonesia, Turki, India, Pakistan, Filipina, Ukraine, dan Nepal untuk pelbagai operasi mencari dan menyelamat serta bantuan kemanusiaan.


“Mewakili Malaysia dan menunjukkan keprihatinan negara kita di peringkat antarabangsa adalah sesuatu yang amat membanggakan walaupun pada kebanyakan masa dibuat tanpa publisiti.


“Saya juga mendoakan SMART akan berjaya dengan cemerlang semasa pemeriksaan INSARAG External Reclassification (IER) bagi mengekalkan status pasukan ini sebagai satu agensi penyelamat elit bertaraf dunia pada tahun 2021,” katanya.


Pasukan SMART merupakan pasukan mencari dan menyelamat elit negara yang ditubuhkan 25 tahun lalu sewaktu tragedi runtuhan Highland Tower pada 1993.


Norlida Ishak Shop