Expired : 18.06.18

Maldini yakin sembuh cepat

BEKAS ketua pasukan Itali, Paolo Maldini menjangkakan mampu pulih dalam tempoh seminggu selepas disahkan menghidap Covid-19.


Maldini, 51, yang juga pengarah teknikal di AC Milan dan anaknya, Daniel, pemain remaja pasukan berkenaan, dikuarantin selama dua minggu di rumah.


Pasukan berkenaan mengumumkan Sabtu lalu bahawa kedua-dua mereka akan kekal dikuarantin sehingga betul-betul sembuh dari Covid-19.


“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang mengambil berat dan memberi kata-kata semangat kepada saya serta anak saya di media sosial.


“Kami berada dalam keadaan terkawal dan mampu untuk melawan virus ini dalam tempoh seminggu. Terima kasih kerana terus menyokong kami.


“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada doktor, jururawat, pekerja bahagian kesihatan dan pegawai penguatkuasa yang berdepan masalah ini dengan penuh profesional serta berdidikasi.


“Sekali lagi, anda semua membuatkan kami bangga menjadi rakyat Itali. Terima kasih,” kata Maldini dalam laman sosial, Instagram.


Maldini yang dilabel sebagai salah seorang pertahanan terbaik sepanjang zaman, meraih lima kejuaraan Liga Juara-Juara bersama Milan.


Semua kejohanan sukan di Itali ditangguhkan sehingga 3 April berikutan penularan wabak berkenaan yang setakat ini sudah mengorbankan 6,000 nyawa di negara itu.