Expired : 18.06.18

Mamat Exists bebas reman

PENYANYI, Mamat Exists, 41, dibebaskan daripada tahanan reman dengan jaminan polis kira-kira jam 4.30 petang tadi selepas ditahan reman semalam bagi membantu siasatan kerana memiliki dadah.


Ketua Pegawai Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim yang berada di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara berkata, Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin, 42, dalam keadaan baik dan tenang sebaik dibebaskan.


"Alhamdulillah, keadaan Mamat baik. Saya belum sempat berbual panjang dengan dia dan kami akan berangkat ke Kuala Lumpur petang ini juga," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurutnya, selaku penganjur konsert Exists Reunion, Shiraz Projects merancang untuk mengadakan sidang media bersama Mamat.


"Kami ada rancangan untuk mengadakan majlis sidang media bagi menjelaskan situasi sebenar selain memaklumkan mengenai perkembangan konsert Exists Reunion," katanya.


Shirazdeen mewakili Shiraz Projects juga berterima kasih pada semua pihak yang sentiasa bertanya khabar dan prihatin dengan situasi yang melanda.


"Kami amat menghargai sokongan yang anda berikan dan Shiraz Projects akan sentiasa berkongsi perkembangan mutakhir mengenai konsert Exists Reunion dari semasa ke semasa," katanya.


Terdahulu Harian Metro melaporkan, bekas vokalis kumpulan popular 90-an itu ditahan selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu di luar kawasan rumah kedai di Taman Perling di Johor Bahru, pada Ahad lalu.


Penyanyi lelaki berusia 41 tahun itu ditahan bersama seorang lagi rakan lelaki berikutan penemuan satu paket dadah dipercayai jenis syabu.


Penahanan kedua-dua mereka pada 11.30 malam itu dilakukan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika menunggang sebuah motosikal Yamaha LC 135 di kawasan terbabit.


Serbuk putih disyaki dadah itu ditemui dalam dompet penyanyi berkenaan.


Berita berkaitan


Penganjur konsert Exist Reunion terkejut


'Sekali ini sahaja dengan Mamat' terkejut


Norlida Ishak Shop