Expired : 18.06.18

Mampu lakar

PERSAINGAN hebat dalam acara menembak di Sukan Sea mendorong Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NAAM) meletakkan sasaran lebih realistik untuk barisan penembak negara di Filipina.


Pengurus pasukan, Datuk Musa Omar berkata, sasaran yang diletakkan adalah dua emas dengan beliau sendiri tidak menolak kemungkinan untuk meraih lebih daripada jumlah itu sekiranya skuad negara mampu mempamerkan aksi cemerlang.


“Memang pihak persatuan menyasarkan dua emas, tetapi firasat saya kuat berasakan kami mampu memenangi lebih daripada jumlah itu.


“Segala-galanya bergantung kepada prestasi setiap atlet ketika hari pertandingan. Seperti negara lain, pasukan negara juga dibarisi penembak terbaik. Jadi bagi saya persaingan terbuka untuk semua negara termasuk Singapura dan Thailand,” katanya.


Pada edisi kali ini, Malaysia dilihat mempamerkan barisan penembak terbaik termasuk pemenang emas dua tahun lalu di Kuala Lumpur, Johnathan Wong serta penembak berpengalaman, Bibiana Ng dalam acara Air Pistol.


Manakala Mohd Lutfi Othman, Muhammad Ezuan Nasir Khan, Shahera Rahim Raja dan seorang lagi penembak berpengalaman, Nur Suryani Mohd Taibi menjadi sandaran dalam acara Air Rifle.


Bagi Suryani, meskipun sudah mempunyai pengalaman luas di pentas tertinggi, dia tetap menganggap saingan di Sukan Sea juga kompetitif.


“Pada pendapat saya, saingan di Sukan Sea adalah seperti di Sukan Asia. Bermaksud persaingannya sangat sengit dan mungkin lebih sengit berbanding Sukan Komanwel.


“Jurang antara setiap penembak tidaklah terlalu jauh. Jadi setiap penembak perlu mempamer aksi terbaik untuk mendapatkan pingat,” katanya.


Suryani yang sudah sekian lama mewakili negara berkata, dia tidak pernah memikirkan soal persaraan dan Filipina juga bukanlah Sukan Sea terakhir untuknya.


“Selagi khidmat saya diperlukan, selagi itulah saya akan terus bersama skuad negara,” katanya.


Norlida Ishak Shop