Expired : 18.06.18

Mangsa bahan kimia meningkat 207 sehingga jam 11 malam tadi


JOHOR BAHRU, 5 Rejab 1440H, Selasa – Jumlah mangsa pencemaran ekoran pembuangan sisa toksik ke Sungai Kim Kim, Khamis lalu, meningkat mendadak kepada 207 orang setakat jam 11 malam tadi, susulan gelombang kedua tengah hari tadi.


Pada masa sama, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Pasir Putih, ditutup semula selepas kejadian tengah hari semalam.


Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Selahuddeen Abd Aziz berkata, gelombang kedua itu membabitkan majoriti kes pelajar SK dan SMK Taman Pasir Putih.


Beliau berkata, setakat jam 11 malam tadi, 29 orang dihantar ke klinik kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan, manakala 77 mangsa dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dengan 35 daripada mereka ditahan di wad untuk rawatan lanjut.


“Daripada jumlah 35 mangsa ditahan itu, empat dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Selepas 16 pesakit daripada gelombang pertama telah dibenar pulang, jumlah terkini yang masih berada di HSI adalah 44 orang (enam di ICU dan 38 orang di wad HSI),” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.



Beliau berkata, daripada jumlah 44 orang di HSI, 11 adalah orang dewasa dan 33 adalah murid sekolah.


Mangsa pencemaran dilaporkan mengalami pedih mata, loya, muntah, pening, sakit dada dan sesak nafas.


Kedua-dua SK Taman Pasir Putih dan SMK Taman Pasir Putih kini telah ditutup semula.


Khamis lalu, kedua-dua sekolah itu diarahkan tutup berikutan pencemaran udara ekoran pembuangan sisa kimia ke Sungai Kim Kim yang berhampiran oleh pihak tidak bertanggungjawab, dan ia dibuka semula pagi tadi, selepas disahkan selamat, namun pada tengah harinya kejadian sama berulang.


Kira-kira lima jam selepas sesi sekolah bermula ramai pelajar dan guru dari dua sekolah berkenaan mengadu mengalami simptom seperti muntah, loya dan sakit kepala sehingga menyebabkan 61 orang dirawat di HSI sehingga jam 5.30 petang tadi.


Dr Selahuddin menasihati murid dan penduduk tempatan agar segera mendapatkan rawatan sekiranya mempunyai gejala pedih mata, sakit dada dan sesak nafas dan disyaki terhidu dan terdedah kepada bahan kimia tersebut.


Selain itu, orang ramai diminta menggunakan air terawat untuk aktiviti harian.



“Kerap mandi dan pakaian yang digunakan hendaklah dibasuh berasingan setiap kali keluar dari rumah bagi mengelakkan kemungkinan sisa toksik terkena di anggota badan,” katanya.


Selain itu, beliau meminta orang ramai jangan mendekati atau melakukan aktiviti riadah berdekatan kawasan Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.


Sementara itu, tiga lelaki termasuk dua pemilik kilang ditahan kerana disyaki membuang sisa bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim, Khamis lepas.


Mereka yang ditahan terdiri daripada pemilik kilang memproses bahan kimia berusia dalam lingkungan 50-an dan pemilik kilang memproses bahan lusuh berusia 40-an bersama pekerjanya berusia 50-an.


Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Datuk Mohammad Ezzani Mat Salleh berkata pemilik kilang memproses bahan kimia itu ditahan petang semalam manakala dua yang lain ditahan pukul 12.30 tengah hari ini.


“Kami tangkap dan serah kepada polis untuk siasatan mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar kilang memproses bahan lusuh yang terletak 500 meter dari lokasi pembuangan sisa itu.



Khamis lalu media melaporkan 1,400 pelajar sekolah SK dan SMK Taman Pasir Putih diarah mengosongkan kawasan sekolah apabila beberapa pelajar mengalami sesak nafas, muntah dan pengsan selepas terhidu gas dipercayai daripada bahan kimia yang dibuang ke dalam Sungai Kim Kim.


Mohammad Ezzani berkata, pemilik kilang memproses bahan kimia ditahan berdasarkan analisis kimia yang dilakukan JAS manakala seorang lagi pemilik kilang ditahan bersama bahan kimia yang serupa atau sepadan dengan yang dibuang ke sungai itu.


Beliau berkata, kilang memproses bahan kimia di Kulai adalah berdaftar dan pernah disita sebelum ini berikutan pencemaran manakala bagi kilang memproses bahan lusuh di sini, pihak berkuasa tempatan masih dalam proses untuk mendapatkan pengesahan pendaftaran kilang itu.


“Kedua-dua kilang kini disita dari beroperasi…kami akan ambil tindakan, buka kertas siasatan dan pendakwaan di mahkamah. Kalau boleh dalam minggu ni juga…bergantung kepada keputusan Timbalan Pendakwa Raya dan siasatan polis,” katanya.


Sementara itu, tinjauan di kilang memproses bahan lusuh hari ini mendapati tiada pekerja lain kelihatan manakala keadaan sekeliling terbiar dengan pelbagai barang buangan dijumpai sekeliling syarikat itu. – Bernama



The post Mangsa bahan kimia meningkat 207 sehingga jam 11 malam tadi appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop