Expired : 18.06.18

Mangsa banjir Pulau Pinang kekal 120 orang pagi ini


TASEK GELUGOR, 5 Ramadan 1440H, Jumaat – Jumlah mangsa banjir yang masih ditempatkan di dua pusat pemindahan banjir di sini dan Butterworth masih tidak berubah iaitu seramai 120 orang daripada 22 keluarga sehingga 8 pagi ini.


Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, seramai 85 penduduk daripada 15 keluarga masih berada di pusat pemindahan banjir di Dewan Muhibbah, Merbau Kudung di sini.


“Seramai 35 mangsa banjir daripada tujuh keluarga juga masih ditempatkan di pusat pemindahan di Surau Kampung Tok Sani, Butterworth dekat sini,” katanya ketika dihubungi.


Katanya, mangsa belum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing kerana keadaan rumah mereka masih dinaiki air malah ada kediaman yang banjir semakin teruk berikutan hujan lebat semalam.


Beliau berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang bersama beberapa agensi turut mengagihkan makanan sahur kepada penduduk di Kampung Malaysia Mak Mandin kerana kawasan rumah mereka turut dinaiki air namun penduduk di situ tidak berpindah kerana air hanya pada paras kira-kira 30 sentimeter.


Phee berkata, berdasarkan ramalan cuaca, hujan akan melanda Pulau Pinang sepanjang hari ini dan berikutan itu kerajaan negeri telah bersiap-sedia menghadapi sebarang kemungkinan jika banjir semakin teruk.


“Taburan hujan di negeri ini dijangka melebihi 30mm sejam dan di antara pukul 11 pagi dan 2 petang hari ini serta 1 pagi dan 2 pagi esok pula, air laut pasang akan berlaku dan ini menjadikan risiko banjir berlaku semakin tinggi.


“Berikutan itu, kami mengambil tindakan awal dengan tindakan pembersihan sistem saliran, kesiapsiagaan rumah pam dan semua agensi sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.


Katanya, orang ramai juga diminta melaporkan dengan segera kepada pihak berkuasa jika berlaku banjir dan mereka dinasihatkan untuk menjaga keselamatan masing-masing bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini.


Cuaca di Pulau Pinang ketika ini hujan lebat dan sederhana di beberapa kawasan.- Bernama


The post Mangsa banjir Pulau Pinang kekal 120 orang pagi ini appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop