Expired : 18.06.18

Mangsa keganasan rumah tangga, Cleopatra mahu wanita bangkit

Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin mendakwa pernah menjadi mangsa keganasan rumah tangga. — Foto ihsan Instagram/cleopatra_x3
Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin mendakwa pernah menjadi mangsa keganasan rumah tangga. — Foto ihsan Instagram/cleopatra_x3

KUALA LUMPUR, 16 Nov — Pernah tular kerana didakwa menjadi pembantu peribadi Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, wanita jelita Cleopatra muncul lagi.

Menulis di Instagram, Cleopatra, nama asal Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin, 25, mendakwa pernah menjadi mangsa keganasan rumah tangga.


“Keganasan rumah tangga boleh mengubah sebuah perkahwinan menjadi mimpi ngeri dan penjara abadi yang penuh penyeksaan,” dedah ibu tunggal dua anak.


“Saya percaya ramai wanita di luar sana yang pernah atau sedang mengalami masalah ini. Masalah yang satu ketika dulu merupakan ujian paling getir dalam hidup saya.”




Walau tidak memberitahu secara terperinci, pengarah Cleo International itu berkata niatnya bukan untuk membuka “pekung” sendiri, tetapi sekadar menjadi inspirasi sekaligus “menjernihkan nama yang tercalar”.


Katanya isu keganasan domestik dan wanita teraniaya akan dijadikan sebagai perjuangan dalam karier politiknya.


“Semoga perjuangan saya dipermudahkan dan mendapat keberkatan Ilahi. Dengan Izin. 


“Saya Cleo bersama anda wanita teraniaya. Itu ikrar saya,” katanya, mengajak wanita bangkit dari terus ditindas kezaliman.


Beliau juga sebelum ini mencuri perhatian ramai apabila didakwa di media sosial sebagai seorang transgender, tetapi dinafikannya dan bekas suami.