Expired : 18.06.18

MAQIS gagalkan cubaan seludup ayam beku bernilai RM500,000


PADANG BESAR, 30 Ramadan 1440H, Selasa -Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Perlis berjaya menggagalkan dua cubaan membawa masuk ayam beku yang diragui status halalnya dan buah mangga mengandungi haiwan perosak.


MAQIS dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya berjaya menghalang kemasukan keratan ayam beku ke negara ini, pada Sabtu lepas (1 Jun).


Katanya, ayam yang seberat 60,000 kilogram bernilai RM500,000 didapati tidak mempunyai label yang mengesahkan ayam itu disembelih daripada loji, diperakui oleh negara pengekspot iaitu Thailand.


“Perbuatan mengimport keratan ayam sejuk beku yang tidak mematuhi syarat-syarat permit import MAQIS menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) dan 15(2), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728),” kata kenyataan itu.


Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali.


MAQIS berpendapat status halal daging ayam berkenaan adalah meragukan dan keputusan dibuat supaya keratan ayam sejuk beku itu tidak dibenarkan masuk, dengan mengarahkan ejen/pengimport membawa balik semula ke negara asal.


Sementara itu, MAQIS turut mematahkan cubaan membawa masuk mangga import dipercayai mengandungi haiwan perosak iaitu kumbang pengorek buah, di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Padang Besar, semalam (2 Jun).


MAQIS turut menahan dua lori kira-kira 4 petang yang membawa muatan buah mangga import dari Thailand seberat 9,600 kilogram dengan anggaran nilai RM144,000.


Katanya, hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap beberapa buah mangga itu menemukan kumbang pengorek buah.


Perbuatan mengimport tumbuhan dan buah–buahan yang mengandungi haiwan perosak dan berpenyakit adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 14, Akta Perkhidmatan Kurantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).


Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun, atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya. -Bernama


The post MAQIS gagalkan cubaan seludup ayam beku bernilai RM500,000 appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop