Expired : 18.06.18

MAQIS rampas 50kg babi salai

KOTA BHARU, 23 Jamadilawal 1441H, Ahad – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), berjaya mematahkan cubaan membawa masuk daging babi salai seberat 50 kilogram (kg), tanpa sebarang dokumen sah di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP). di sini, hari ini.


Pengarah MAQIS Kelantan, Mohd Azam Yahya berkata, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan terhadap enam rakyat Singapura yang baru sahaja tiba melalui penerbangan Singapura di balai ketibaan LTSIP kira-kira jam 12.30 tengah hari.


“Hasil pemeriksaan ke atas semua rakyat Singapura tersebut didapati mereka membawa lima kotak daging babi salai yang dibalut dengan plastik lutsinar yang diletakkan di dalam dua bagasi yang berasingan.


“Siasatan awal mendapati daging babi salai tersebut dipercayai dibawa masuk bagi kegunaannya sendiri,” katany, dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.


Jelasnya, hasilan babi tersebut dirampas kerana tiada sebarang dokumen yang sah, seperti permit import yang dikeluarkan oleh Jabatan MAQIS dan sijil kesihatan dari negara asal.


Mohd Azam berkata, kesemua daging babi yang dirampas akan dilupuskan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.


Menurutnya, perbuatan mengimport tanpa permit yang sah dari MAQIS adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].


“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya sekali seperti mana yang diperuntukkan pada Seksyen 11(1) akta yang sama.


“Tujuan larangan pengimportan serta membawa masuk daging babi dan produk babi adalah bagi menghalang risiko kemasukan penyakit African Swine Fever (ASF) ke negara ini dan akan menyebabkan kemusnahan industri penternakan babi negara,” katanya.


Menurutnya, antara produk-produk yang berisiko dalam penularan virus ASF adalah seperti babi hidup, daging babi segar, daging babi sejuk beku serta daging babi proses seperti babi salai dan sosej.


Beliau berkata, arahan larangan pengimportan ke atas babi dan produk babi dari 13 negara seperti negara China, Thailand, Vietnam, Laos, Poland, Belgium, Kemboja, Hong Kong, Myanmar, Laos, Korea Selatan, Filipina dan Indonesia adalah sebagai langkah pencegahan.


“MAQIS sentiasa meningkatkan pemeriksaan daging babi dan produk babi terhadap penumpang, dari negara Asia yang telah dijangkiti penyakit terutamanya sebelum sambutan Tahun Baharu Cina minggu depan.” katanya.- Bernama


The post MAQIS rampas 50kg babi salai appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.