Expired : 18.06.18

Marah pekerja ladang perkara biasa, kata pengerusi Felcra

Paparan skrin menunjukkan pegawai berkenaan meninggikan suara seperti video yang kini tular di media sosial.
Paparan skrin menunjukkan pegawai berkenaan meninggikan suara seperti video yang kini tular di media sosial.

KUALA LUMPUR, 6 Mac — Tindakan Ketua Pegawai Operasi (COO) Felcra Berhad Mohd Khairi Mahamor yang memarahi pekerja di sebuah ladang kelapa sawit yang tular di media sosial sejak semalam akan dibawa ke Mesyuarat Lembaga Pengarah Felcra Berhad (Felcra), esok.

Pengerusi Felcra Datuk Nageeb Wahab berkata ketika ini pihaknya sedang mengadakan siasatan dalaman bagi mengetahui punca sebenar kejadian tersebut yang berlaku di ladang kelapa sawit di Kampung Serambi, Pekan, Pahang.


“Kami akan jalankan siasatan dalaman. Tetapi terus-terang, kalau anda biasa kerja di ladang, ini perkara biasa tetapi mungkin cara penerimaan sekarang berbeza, walau apapun, kami tidak mengatakan bahawa kami yang betul.


“Selepas mesyuarat esok, kita akan bincang bagaimana dan apa tindakan selanjutnya yang akan dipertimbangkan,” katanya pada sidang media di Wisma Felcra di Setapak di sini hari ini.


Nageeb berkata beliau menganggap isu tersebut tidak serius dan menyifatkan tindakan yang tular itu sebagai ekspresi pegawai yang kini dalam keghairahan untuk melakukan perubahan kepada Felcra.


Menjelas lanjut, kata Nageeb, pegawai tersebut hanya bertindak memarahi pekerja tanpa mengeluarkan sebarang perkataan kesat kepada mereka yang terlibat.


Ditanya sama ada kejadian tersebut merupakan insiden pertama, Nageeb berkata ia adalah insiden pertama yang dirakam dan ditularkan.


Semalam, tular sebuah video berdurasi satu minit yang memaparkan COO Felcra itu memarahi pekerja di sebuah ladang kelapa sawit disebabkan mereka tidak menggunakan semula beg baja yang telah digunakan. — Bernama 


Norlida Ishak Shop